![]() |
Ribuan manusia hadir membanjiri dataran Likas bagi menghadiri himpunan solidariti "No Justice, No Merdeka" sebagai tanda sokongan terhadap arwah Zara Qairina |
KOTA KINABALU: Antara 30,000 hingga 50,000 orang membanjiri kawasan Likas malam Ahad bagi menghadiri Himpunan Perjuangan Aman 2.0 Justice For Zara sebagai tanda sokongan terhadap Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Orang ramai dilihat membawa plakad selain mengibarkan bendera Sabah dan Sarawak bagi menuntut keadilan untuk pelajar Tingkatan Satu itu.
Himpunan yang bermula sekitar jam 8 malam berhampiran Stadium Likas Itu, bermula dengan nyanyian lagu kebangsaan 'Negaraku' dan lagu 'Sabah Tanah Airku'.
Pengerusi penganjur, Datuk Mohammad Jeffry Rosman berkata, kehadiran orang ramai itu menunjukkan ketidakpuasan hati terhadap sistem keadilan sedia ada dalam mengendalikan kes kematian Zara.
“Rakyat melihat kematian beliau masih misteri dan belum selesai hingga kini. Saya percaya lebih 30,000 hingga 50,000 orang akan hadir apabila lokasi ini penuh,” katanya.
Pada program itu, peserta turut melaungkan slogan bersama penganjur supaya tuduhan terhadap lima remaja yang dikaitkan dengan kes buli Zara dinaikkan ke bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Jeffry menegaskan, Seksyen 507C (1) yang dikenakan kini tidak memadai.
“Biarlah mereka dibicarakan sebagai orang dewasa. Jika bukan Seksyen 302, sekurang-kurangnya Seksyen 304,” katanya.
Dalam pada itu, Jeffry memaklumkan telah mengarahkan peguamnya mengemukakan surat saman kepada Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berhubung kenyataan beliau sebelum ini.
Kenyataan itu menyebut kerajaan negeri terpaksa menukar tarikh dan masa sambutan Hari Sabah dan Hari Merdeka bagi memberi laluan kepada himpunan berkenaan serta mengelakkan insiden tidak diingini.
“Bagi saya, kenyataan itu berniat jahat seolah-olah kami mahu mencetuskan masalah. Surat saman sudah dihantar ke pejabat beliau,” katanya.
Turut hadir menyatakan sokongan, Saripuddin Abdul Kadir, dari Kelab Truckers Trans Bayu yang datang khas dari Sandakan bersama rakan-rakan pemandu lori lain.
“Kami hadir untuk solidariti buat Zara. Rakyat berhak menuntut keadilan kerana isu ini sudah lama berlarutan, bukan sehari dua,” ujarnya.
Selain itu, pasukan paramedik sukarelawan Persatuan Amal dan Jariah Sabah turut berada di lokasi dengan menyediakan perkhidmatan ambulans percuma.
Paramedik Mohd Alfaizun Mohd Alfian, berkata, mereka komited menyokong perkembangan kes Zara yang kini mendapat perhatian meluas.
“Kami juga hadir dalam solidariti di Padang Merdeka dan di mahkamah sebelum ini. Kes Zara ini sudah menjadi isu global dan kami akan terus menyokong,” katanya.
Solidariti terhadap arwah Zara terus bergema di Sabah, sebagai tekanan rakyat agar keadilan ditegakkan.