MINDEF, LTAT jayakan aspirasi MADANI perkukuh kebajikan warga ATM

 

Ashraf (kanan) mengiringi Khaled (tengah) ketika tiba di Masjid As- Salam Kem Lok Kawi.

KOTA KINABALU: Kementerian Pertahanan (MINDEF) melaksanakan pelbagai inisiatif utama di bawah program Kem Santuni MADANI dan Sekolah Angkat MADANI dalam usaha memperkukuh kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Mohammad Ashraf Md. Radzi berkata, dengan sokongan LTAT serta lebih 14 syarikat kumpulannya, program berkenaan kini meliputi 38 sekolah dalam kem ATM seluruh negara dengan jumlah peruntukan RM 950,000.

“Inisiatif ini mencerminkan makna sebenar aspirasi MADANI, Rakyat Disantuni, kebajikan dipertingkatkan, dan komuniti diperkuatkan. Warga ATM dan keluarga mereka adalah tulang belakang keselamatan negara, dan menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kesejahteraan mereka terus dipelihara dan diraikan.

"Fokus utama ialah menaik taraf fasiliti bernilai RM150,000 serta agihan bantuan kewangan kepada 30 keluarga di bawah program Kem Santuni MADANI, Pemerkasaan pendidikan bernilai RM50,000 di bawah program Sekolah Angkat MADANI serta Pemerkasaan warga ATM melalui Literasi Kewangan dan Inisiatif Kesihatan,” katanya ketika lawatan kerja bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke Markas Lima Divisyen, Kem Lok Kawi pada Ahad.

Bagi meningkatkan kesejahteraan keluarga ATM, LTAT menyalurkan lebih RM150,000 untuk projek naik taraf infrastruktur di Masjid As-Salam, Kem Lok Kawi, termasuk penambahbaikan fasiliti agar lebih selesa serta berfungsi sebagai pusat ibadah dan penyatuan komuniti. Projek ini turut mendapat sumbangan daripada syarikat kumpulan LTAT, UAC Berhad.

Ashraf menegaskan, melalui Kem Santuni MADANI dan Sekolah Angkat MADANI, LTAT menzahirkan penghargaan kepada pengorbanan warga ATM dengan menyampaikan bantuan kebajikan, pendidikan dan pemerkasaan kewangan, sejajar aspirasi Malaysia MADANI ke arah negara yang lebih penyayang dan inklusif.

Dalam masa sama, beliau menyatakan solidariti LTAT terhadap rakyat Sabah yang berdepan hujan lebat dan banjir.

“Kami berdiri teguh dengan rakyat Sabah di waktu yang mencabar ini. LTAT mendoakan ketenangan dan keselamatan, dan kami akan terus memainkan peranan yang penting dalam menyokong keluarga ATM serta komuniti yang terkesan. Ketabahan mereka menjadi inspirasi untuk kami terus menyumbang dan memastikan tiada yang terpinggir,”katanya.

Pada program tersebut  turut diadakan penyerahan Wakaf Al-Quran secara simbolik kepada kepimpinan kem Selain mock cheque bernilai RM50,000 kepada Sekolah Kebangsaan Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, dan Sekolah Kebangsaan Kem Tentera, Sandakan, Sabah, di bawah inisiatif Sekolah Angkat MADANI.

Turut diadakan Program Taklimat Faedah Pencarum dan Celik Kewangan, yang sejak diperkenalkan pada Disember 2023 telah memberi manfaat kepada lebih 40,000 anggota ATM di seluruh negara serta pemeriksaan kesihatan percuma seperti ujian glukosa darah dan tekanan darah di bawah kendalian syarikat kumpulan LTAT iaitu Pharmaniaga Berhad melalui Skuad Operasi Sihat ("SOS").

Selain itu, Yayasan LTAT turut menyalurkan bantuan kewangan secara terus sebanyak RM15,000.00 kepada 30 keluarga ATM di Kem Lok Kawi yang dikenal pasti kurang berkemampuan atau menghadapi masalah kesihatan kritikal.  

Program yang dirasmikan oleh Menteri Pertahanan, jelas mencerminkan aspirasi Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni, kesejahteraan  ATM dan keluarga mereka kekal sebagai fokus utama. 

Kem Lok Kawi merupakan salah satu daripada lima kem yang terpilih di bawah inisiatif Kem Santuni MADANI, dengan peruntukan sebanyak RM500,000 di seluruh negara, merangkumi baik pulih infrastruktur, pemerkasaan ekonomi, celik kewangan dan sokongan komuniti yang memberi manfaat kepada lebih 5,900 keluarga ATM.

Turut hadir ialah Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi, Panglima 5 Divisyen, Datuk  Noorrul Azril Ariffin serta Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Mohd Nizar Sudin.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama