Kementerian Pertahanan fokus kesejahteraan anggota ATM di Sabah

 

Mohamed Khaled ketika berucap selepas mengadakan lawatan kerja ke Markas 5 Divisyen di Masjid As-Salam Kem Lok Kawi.

KOTA KINABALU: Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) terus memberi tumpuan terhadap aspek kebajikan dan kesejahteraan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui pelbagai inisiatif berterusan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, lawatan kerja yang diadakan bukan sahaja untuk meninjau keadaan kem, malah turut bertujuan menyantuni pegawai serta anggota yang berkhidmat disana.

"Lawatan ini merupakan satu lawatan yang telahpun disusun untuk meninjau keadaan kem dan juga menyantuni pegawai dan anggota yang terdapat dan berkhidmat di kem ini dan juga meninjau program pembangunan dan juga yang berkaitan dengan soal kesejahteraan anggota dan keluarga yang dilaksanakan.

"Dalam lawatan ini kita beri tumpuan kepada soal kesejahteraan kem dan anggota mereka oleh sebab itu turut sama-sama dalam lawatan kali ini ialah wakil dan pegawai-pegawai daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), saudara Ashraf selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTAT dan para pegawai kanannya.

"Ini kerana LTAT sebagai satu institusi di bawah kementerian diberi peranan dan tanggungjawab untuk menjayakan beberapa inisiatif yang telah diperkenalkan oleh kerajaan di bawah program-program Madani," katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Markas 5 Divisyen, Kem Lok Kawi, pada Ahad.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa memberi perhatian serius terhadap aspek keselamatan Sabah, dan lawatan itu juga menjadi platform menilai tahap kesiapsiagaan ATM dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab di negeri ini.  

"Seperti kita sedia maklum kerajaan memang memberi perhatian besar kepada soal keselamatan Sabah dan secara tidak langsung kehadiran ke Sabah meninjau dan bertemu dengan para pegawai serta anggota sedikit sebanyak akan dapat dipastikan kesiagaan ATM kita di Sabah dalam melaksanakan tugas amanah dan tanggungjawabnya.

"Kita turut memainkan peranan anggota-anggota kita dalam membantu menangani bencana banjir yang terjadi beberapa minggu yang lepas dan kita akan terus memainkan peranan sekiranya ada bencana lain yang berlaku,"ujarnya.

Dalam lawatan tersebut, Mohamed Khaled turut merasmikan blok bangunan baharu yang menempatkan beberapa bilik darjah di Sekolah Kebangsaan Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu membabitkan kos keseluruhan projek naik taraf pelbagai fasiliti sekolah berjumlah RM3.06 juta.

Beliau turut menyerahkan replika cek bernilai RM25,000 kepada Guru Besar Sekolah Kem Lok Kawi, Haji Sahibul Haji Daim, bersama Penolong Kanan Pentadbiran, Azmy Ahmad, yang mewakili Sekolah Kebangsaan Kem Tentera, Sandakan. Sumbangan itu disalurkan melalui LTAT ke akaun PIBG sebagai sebahagian daripada Program Sekolah Angkat MADANI bagi Sekolah-sekolah Dalam Kem (SDK).

Selain itu, beliau meninjau projek pengusahaan madu kelulut di Rejimen Ketiga Askar Melayu Diraja (3 RAMD), serta mendengar taklimat daripada Pegawai Memerintah, Leftenan Kolonel Mohd Shaiful Amir Omar mengenai perkembangan projek tersebut.

Projek berteraskan Ekonomi MADANI itu dilaksanakan dengan kerjasama strategik melibatkan Boustead Plantations Berhad (BPlant) selaku pembeli utama, Persatuan Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) 3 RAMD sebagai pengusaha, serta Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terlibat dalam aspek penyelidikan.

Turut diberi perhatian ialah projek pembinaan baharu tandas di Masjid As-Salam, Kem Lok Kawi serta kerja penambahbaikan laluan rosak dengan kos RM150,000 melalui pembiayaan LTAT. Inisiatif ini dilaksanakan di bawah Program Kem Santuni MADANI-LTAT, yang bertujuan mendekatkan kepimpinan dengan masyarakat dan menangani isu sosioekonomi secara langsung.

Lawatan kerja tersebut turut diserikan dengan sumbangan kebajikan kepada 20 anggota serta keluarga yang menghidap penyakit kronik dan orang kurang upaya (OKU) yang disampaikan oleh Khaled.

Hadir sama Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Datuk Seri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi, Panglima 5 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Noorrul Azril Ariffin.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama