KOTA KINABALU: Kadar pendaftaran bagi Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) di Sabah dan Sarawak masih rendah walaupun skim itu sudah dibuka sejak 15 September lalu.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, jumlah data setakat 20 September menunjukkan hanya 89 buah kenderaan di Sabah dan enam di Sarawak yang mendaftar.
Katanya, masih terdapat ribuan kenderaan yang layak menerima manfaat subsidi petrol RON95 melalui skim tersebut.
“Daripada 2,677 kenderaan yang dikenal pasti layak di Sabah, hanya 89 mendaftar. Di Sarawak pula, daripada 1,970 kenderaan yang layak, cuma enam yang sudah memohon,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Hongkod Koisan (KDCA) di sini, hari ini.
Armizan turut mengingatkan syarikat pengangkutan darat, awam dan barangan di kedua-dua negeri agar tidak menunggu hingga saat akhir kerana selepas kelulusan, mereka memerlukan masa tambahan untuk mendapatkan ‘Fleet Card’ daripada syarikat minyak.
“Proses memohon kelulusan melalui sistem SKPS sangat mudah, malah jika dokumen lengkap ia boleh lulus dalam masa sejam. Tetapi selepas itu mereka perlu mohon fleet card daripada syarikat minyak pilihan, dan proses ini memakan masa,” jelasnya.
Beliau berkata penyasaran subsidi petrol dilaksanakan di seluruh negara supaya pengguna dan pengusaha pengangkutan di Sabah dan Sarawak turut menikmati harga subsidi RON95 pada RM1.99 seliter.
“Rakyat biasa tidak perlu mendaftar untuk menikmati harga subsidi. Pendaftaran ini hanya bagi syarikat yang memberi perkhidmatan pengangkutan awam dan barangan supaya mereka dapat membeli petrol pada kadar subsidi dan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan kos,” tambahnya.
Armizan menyeru semua syarikat yang layak agar segera memohon melalui sistem SKPS di pautan yang disediakan oleh KPDN bagi memastikan mereka dapat menikmati subsidi yang diberikan.