KOTA KINABALU: Bekalan air di bandaraya ini dijangka akan kembali pulih dalam tempoh terdekat berikutan kerja membaik pulih dengan kadar segera sedang giat dilakukan kata Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Shahelmey Yahya.
Beliau berkata sebuah paip utama sepanjang 120 meter dengan diameter 700 milimeter yang menyalurkan bekalan air mentah ke loji rawatan air Moyog di Jalan Madsiang telah pecah akibat bencana banjir.
Susulan itu, pihaknya berusaha untuk mempercepatkan lagi kerja membaik pulih agar bekalan air kembali stabil.
“Kerja-kerja pembaikan telah dimulakan oleh kontraktor dan dijangka siap dalam tempoh lima hingga tujuh hari.
"Namun, saya telah berbincang dengan Pengarah Jabatan Air untuk menambah tenaga kerja serta mesin agar dapat disiapkan lebih awal daripada jangkaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita bertempat di Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, Kota Kinabalu (IPGM), di sini, semalam.
Akibat gangguan terbahit, Kota Kinabalu mengalami kekurangan lebih 30 juta liter air sehari sehingga menyebabkan rungutan daripada penduduk dan pengusaha hotel.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas berhubung bekalan air di Sandakan yang sebelum ini berpunca daripada gangguan bekalan elektrik.
"Namun Loji Segaliud kini kembali kembali beroperasi selepas disambungkan kepada bekalan elektrik Sabah Electricity. Tekanan air dijangka mengambil masa sebelum pulih sepenuhnya.
"Selain bekalan air, infrastruktur jalan raya turut terjejas. Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan sebanyak 10 laluan terputus, antaranya jalan Penampang–Tambunan dan laluan ke Papar akibat tanah runtuh di kawasan Kawang.
“Jalan tersebut telah dibersihkan dan boleh dilalui. Namun, kita masih melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan serta pembinaan jalan lencongan bagi memastikan sambungan jalan terus tersedia,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya telah memasang sembilan unit alat pemantauan cerun di sepanjang jalan Persekutuan, termasuk jalan Penampang–Tambunan untuk mengesan risiko pergerakan tanah.