Mangsa banjir trauma, imbau pengalaman tidur dalam kereta


PENAMPANG: Kesedihan dan trauma masih menyelubungi penduduk Kampung Kolupis yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh yang melanda baru-baru ini.

Ramai penduduk kehilangan harta benda dan berdepan detik cemas sewaktu menyelamatkan diri bersama keluarga mereka.

Veronica Chin, 63, berkata bencana kali ini mengingatkannya kepada banjir besar tahun lalu yang memusnahkan hampir kesemua barangan rumahnya.

Katanya, banjir sebelum ini lebih buruk dan mengakibatkan kerugian besar kepada keluarganya.

“Masuk sampai tahun lalu tujuh kaki. Rumah kami tiada tinggal apa pun, pakaian pun tidak dapat diselamatkan, cuma kereta saja. Kami naik bukit jiran, tidur anak-beranak tiga generasi dalam kereta, satu malam satu hari,” katanya ketika ditemui media.

Veronica berkata banjir kali ini mencecah paras empat kaki dan walaupun tidak seteruk tahun lalu, penduduk masih trauma dengan pengalaman yang mereka lalui.

Jelasnya, mereka hanya sempat menyelamatkan diri dan beberapa barangan penting.

“Tahun lalu lebih teruk, tapi saya rasa gembira sebab Perdana Menteri tengok kami di sini. Kehadiran beliau memberi semangat baharu kepada kami yang berdepan dugaan ini,” katanya sambil menahan sebak ketika ditemu bual.

Katanya, penduduk berharap pihak berkuasa mengambil langkah segera bagi mengelak bencana berulang.

Antara cadangan termasuk kerja mendalamkan parit dan sungai agar aliran air tidak tersumbat setiap kali hujan lebat melanda.

“Saya berharap ada penyelesaian segera dan jangka panjang untuk masalah banjir di kawasan kami. Kehilangan kami tahun lalu pum sangat besar, sehingga sijil penting dan pakaian anak-anak pun musnah,” tambahnya.

Beliau juga memaklumkan bahawa setiap kali hujan berpanjangan, mereka tidak dapat keluar bekerja atau menghantar anak ke sekolah kerana jalan utama dinaiki air dan terputus hubungan dengan kampung bersebelahan.

Veronica berkata demikian ketika ditemui wartawan sewaktu lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kolupis di Penampang, hari ini.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama