KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera kerajaan Persekutuan dan negeri Sabah yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir dan memulihkan kawasan terjejas sejak minggu lalu.
Katanya, komitmen dan pengorbanan semua pihak, termasuk tenaga barisan hadapan amat dihargai kerana berjaya meringankan beban mangsa pada saat getir.
“Terima kasih kepada Ketua Menteri dan kerajaan Negeri yang telah melaksanakan usaha-usaha dengan segera.
“Dalam pertemuan saya dengan wakil kawasan-kawasan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) ini, saya dapat melihat mereka berasa bangga dengan kesungguhan dan pengorbanan para petugas termasuk pasukan elektrik dan tenaga yang bertungkus-lumus membantu.
“Seperti yang semua maklum, saya baru pulang dari Doha dan telah mengarahkan seluruh jentera kerajaan Persekutuan untuk memberikan kerjasama, termasuk menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta,” katanya selepas meninjau kawasan terjejas, di sini, hari ini.
Anwar berkata, walaupun bantuan awal RM10 juta telah diluluskan, kerajaan akan meneliti keperluan peruntukan tambahan.
Menurutnya, keutamaan diberikan bagi membaiki infrastruktur dan membantu penempatan keluarga yang terkesan.
“Yang penting bukan sekadar bantuan tunai, tetapi juga penyediaan kediaman, kemudahan asas dan persekolahan anak-anak mangsa,” jelasnya.
Perdana Menteri turut memuji semangat kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam memastikan proses pemulihan pasca banjir berjalan lancar.
“Kita akan selaraskan segera semua laporan berkaitan kerosakan, termasuk isu Institut Pendidikan Guru (IPG). Jika perlu dibangunkan semula, kita akan runding dengan kerajaan negeri untuk mencari lokasi baharu,” ujarnya.