KOTA KINABALU: Peguam Bela, Datuk Ram Singh, melahirkan kekecewaan susulan pendedahan kenyataan saksi dalam prosiding inkues yang memasuki hari ke-10 yang tular di media sosial.
Beliau berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu menjejaskan prosiding yang sedang berjalan di Mahkamah Koroner, hari ini.
“Kami kecewa kerana selepas begitu banyak persediaan, kenyataan saksi pula telah bocor.
“Seperti yang disebut oleh mahkamah, satu amaran perlu diberikan kepada semua pihak. Kerahsiaan amat penting,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding, di sini.
Ram berkata beliau akan membuat laporan polis berhubung kenyataan yang tersebar itu pada hari ini.
Menurutnya, pihaknya juga menerima rakaman TikTok yang mendedahkan lima nama termasuk nama anak guamnya.
“Kami juga menerima video TikTok yang memaparkan semua nama, lima nama itu, khususnya tumpuan perhatian kepada anak guam saya.
“Itu tidak wajar dan bagi saya ia satu bentuk ugutan dan Pegawai pengendali telah menyatakan mereka akan menyiasat perkara ini,” ujarnya.
Ram turut melahirkan rasa simpati terhadap ibu bapa dan kanak-kanak yang terlibat kerana perlu berdepan tekanan akibat pendedahan itu.
“Kanak-kanak memerlukan masa untuk mempersiapkan diri memberi keterangan dalam inkues.
Apabila berlaku kebocoran seperti ini, ia memberi kesan emosi kepada mereka,”tambahnya.