![]() |
| Kasim ketika ditemui media. |
KOTA KINABALU: Sempena Sambutan Hari Malaysia 2025 peringkat negeri Sabah yang berlangsung di Padang Merdeka pada 16 September ini, beberapa jalan utama di pusat bandar raya akan ditutup atau dilencongkan bagi melancarkan perjalanan acara berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata penutupan dan lencongan trafik akan melibatkan beberapa lokasi strategik, antaranya Simpang KFC Bandaran (penutupan berkala) di mana hanya kenderaan milik penginap Hotel Dreamtel dan pemilik kedai dibenarkan masuk.
''Manakala Simpang Tiga Bukit Bendera (penutupan kekal) bagi laluan menuju ke Padang Merdeka akan ditutup sepenuhnya.
''Bagi laluan Bulatan Bunga Raya (penutupan berkala) hanya kenderaan dengan pelekat yang dikeluarkan pihak protokol dibenarkan melalui kawasan ini.
''Sementara jalan Bulatan Capital (Bandaran) ditutup berkala dengan kenderaan VVIP dibenarkan masuk menuju ke Bulatan Bypass, manakala kenderaan awam dilencongkan ke lampu isyarat Centre Point.
''Bagaimanapun, petugas mempunyai budi bicara sekiranya ada orang awam ingin ke kawasan Bandaran untuk tujuan menginap atau berniaga sementara lampu Isyarat Dewan (penutupan berkala), penutupan dilakukan bagi memberi laluan kepada penyusunan dan pergerakan kontinjen perbarisan.
“Orang awam digalakkan meletakkan kenderaan di kawasan Kampung Air dan Gaya Street bagi mengelakkan kesesakan di laluan utama,” katanya ketika ditemui media selepas sesi temu bual di konti Sabah FM, pada Jumaat.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
