KUSKOP perkukuh agenda ekonomi orang asal melalui skim mikro dan koperasi

Ewon ketika ditemui media sejurus merasmikan Karnival Momogun Sempena Hari Orang Asal Sedunia 2025 di Pusat Kebudayaan Murut Sabah pada Sabtu.

TENOM : Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan memperkukuh agenda pembangunan ekonomi orang asal melalui pelbagai inisiatif baharu.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif tersebut termasuk skim pembiayaan mikro tanpa faedah, persidangan koperasi dan pengiktirafan perusahaan sosial.

Menurutnya, langkah tersebut seiring dengan tumpuan khas dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memberi fokus kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat anak negeri Sabah, bumiputera Sarawak dan orang asli Semenanjung.

"Antara langkah konkrit ialah penganjuran Persidangan Koperasi Orang Asal Malaysia di Perak pada November ini yang menghimpunkan koperasi orang asli di Semenanjung bersama koperasi etnik Sabah dan Sarawak," katanya ketika ditemui media sejurus merasmikan Karnival Momogun sempena Hari Orang Asli Sedunia 2025 di Pusat Kebudayaan Murut Sabah, di sini pada Sabtu.

Karnival tahunan tersebut dianjurkan oleh Momogun National Congress (MNC) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan Pejabat Daerah Tenom.

Tambah Ewon, KUSKOP juga memperkenalkan dana serta skim pembiayaan mikro tanpa faedah menerusi SME Corp dan Tekun Nasional bagi membantu usahawan kecil dan penjaja, termasuk dari Sabah dan Sarawak.

"Jika masyarakat lain mampu menubuhkan yayasan dan dana khas untuk membantu peniaga mereka, saya percaya MNC dan masyarakat orang asal juga boleh mengambil pendekatan sama melalui koperasi, yayasan dan persatuan bagi memperkukuh keupayaan ekonomi," katanya.

Beliau menegaskan, bermula 2026 kementeriannya akan menyalurkan peruntukan lebih besar bagi mengembangkan gerakan koperasi dan usahawan orang asal supaya kekayaan budaya tidak hanya menjadi warisan, tetapi juga aset ekonomi masyarakat.

Hadir sama, Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin; Presiden MNC, Tan Sri Wences Angang merangkap Penasihat Karnival Momogun Sempena Hari Orang Asal Sedunia 2025 serta Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama