KKM luluskan RM1 juta bina Klinik Kesihatan Simpudu

Dzulkefly (kiri) meninjau kerja-kerja pembersihan dan peralatan yang rosak akibat banjir di KD Gadong.

PAPAR:   Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meluluskan peruntukan RM1 juta bagi pembinaan Klinik Kesihatan Simpudu (Type 3) yang mampu menampung jumlah kehadiran pesakit di Klinik Desa (KD) Simpudu dan KD Biau.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata bagi memberi laluan kepada pembinaan klinik baharu di tapak bersebelahan itu, KD Simpudu akan ditutup sementara dalam tempoh enam hingga sembilan bulan dan para pesakit boleh mendapatkan rawatan di KD Biau.

"KD Simpudu ini bukan terlibat dalam banjir atau terjejas kerana banjir tetapi sebenarnya mengalami mendapan tanah. Mendapan tanah ini sejak sekian lama akibat hakisan tebing sungai. 

"KD ini berada berdekatan tebing sungai dan dalam keadaan yang sangat tidak selamat, maka mustahak untuk kita berikan segera satu perancangan ke depan. 

"Saya berbincang dengan Pengarah, Dr. William dan rakan-rakan yang lain untuk mengenalpasti, walaupun tidak dapat dikenalpasti dari sudut tanah, tapi kita sudah ada perancangan ke depan untuk membangunkan kombinasi KD Simpudu dan KD Biau.

"Mengenalpasti bukan KD tetapi satu KK yang kita bangunkan satu KK (Type 3) sesuai dengan menjadikan ia future focus, future ready. Sementara KD Simpudu itu yang akan tergendala, akan kita alihkan ke KD Biau," jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dzulkefly juga meluluskan peruntukan segera RM50,000 bagi menggantikan peralatan yang rosak di KD Gadong yang disifatkannya paling terjejas di antara sembilan klinik yang terkesan bencana di Sabah.

"Daripada 9 KK sekitar, klinik inilah yang paling terkesan, terjejas dan hingga hari ini belum dapat beroperasi sementara KK yang lain sudah mula beroperasi.

"Melihat kepada kerosakan-kerosakan peralatan, sama ada peralatan yang mudah alih dan juga non-medical dan juga equipment yang kita hitung-hitung tadi, saya meluluskan peruntukan segera RM50,000 bagi menggantikan peralatan yang rosak," dedah beliau.

Mengulas lanjut ujar Dzulkefly, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah diarah untuk mengenalpasti tapak baharu di tanah persekutuan bagi pembinaan klinik gantian bagi KD Gadong Papar sebagai langkah jangka panjang memandangkan lokasi sedia ada berada terdedah kepada bencana banjir.

"Lebih penting daripada itu,  jangka panjang, saya telah mengarahkan pengarah JKN supaya mengenalpasti satu tapak baharu di atas tanah persekutuan untuk kita bina klinik gantian kerana lokasi lokasi ini sangat terdedah kepada banjir dan saya kira mustahak untuk kita berikan tumpuan mendapatkan lokasi yang baharu," katanya kepada media selepas meninjau fasiliti kesihatan di KD Gadong dekat sini, pada Jumaat. 

Dzulkefly berada di Sabah untuk lawatan kerja selama dua hari sejak semalam bagi menyantuni mangsa-mangsa bencana banjir dan tanah runtuh di pusat-pusat pemindahan.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama