KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sedang bercadang bagi memberi subsidi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada lebih 100,000 pelajar di setiap Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Katanya, pihaknya akan membuat kajian bagi menentukan jumlah peruntukan yang sesuai sebelum dibentangkan kepada Kabinet negeri untuk kelulusan.
“Kita sekarang sedang buat kajian untuk membantu mereka yang masih lagi berhutang dengan PTPTN. Laporan awal menunjukkan lebih daripada 100 ribu orang terlibat.
“Kita akan lihat berapa peruntukan diperlukan untuk meringankan beban hutang itu, dan kemudian akan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Mahasiswa Sabah bertempat di Dewan Hongkod Koisan KDCA, di sini, hari ini.
Hajiji menegaskan inisiatif tersebut bukanlah gula-gula pilihan raya’, sebaliknya sebahagian daripada usaha kerajaan negeri membantu golongan muda memulakan kerjaya tanpa dibebani hutang pendidikan.
“Kalau boleh kita mahu laksanakan secepat mungkin, tetapi mesti mengikut peraturan kerajaan,” tambahnya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri juga merancang menanggung sepenuhnya yuran pengajian pelajar kemasukan baharu di institusi Yayasan Sabah, iaitu University College Sabah Foundation dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah.
“Berapa jumlah pelajar yang ada di sana, itu yang kita akan bantu. Kita tidak boleh pilih-pilih, semuanya akan ditanggung oleh kerajaan negeri melalui Yayasan Sabah,” jelasnya.
Mengulas lanjut, ketika ditanya sama ada perkara itu bakal diumum sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN), Hajiji berkata perkara itu akan dimaklumkan nanti.
“Tunggu saja, tidak lama lagi. Kita sedang teliti supaya manfaat sampai kepada semua yang layak,” jelasnya.