![]() |
Armizan semasa ditemui media. |
PENAMPANG: Syarikat pengangkutan darat awam dan pengangkutan barangan di Sabah dan Sarawak digesa membuat pendaftaran segera untuk mendapat manfaat subsidi bahan api petrol RON95.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata pendaftaran tersebut perlu dibuat sebelum pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dimulakan.
"Sebagaimana yang telah diumumkan pada 13 September 2025 yang lalu, pendaftaran melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) telah dibuka pada 15 September 2025, dan dalam tempoh enam hari pendaftaran tersebut dibuka, jumlah kenderaan yang didaftarkan di Sabah dan Sarawak masih amat rendah.
"Mengikut rekod SKPS, hanya 89 kenderaan daripada anggaran 2,677 kenderaan di Sabah didaftarkan dan hanya enam daripada 1,970 kenderaan yang layak didaftarkan di Sarawak.
"Saya mengharapkan supaya syarikat pengangkutan darat, barangan dan juga awam di Sabah dan Sarawak ini mendaftar dan memohon segera untuk memastikan bahawa sebaik saja tarikh pelaksanaan penyasaran subsidi petrol ini diumumkan dan dilaksanakan mereka boleh memanfaatkan subsidi tersebut pada kadar harga subsidi yang akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) dalam masa yang terdekat," katanya semasa ditemui media dalam Majlis Konvensyen Mahasiswa Sabah hari ini.
Mengulas mengenai mekanisme pembayaran subsidi tersebut, Armizan menjelaskan persiapan yang terperinci telah dilakukan bagi memastikan semuanya berjalan lancar tanpa ada sebarang gangguan.
"Kita yakin dengan persiapan oleh MOF mengenai kaedah pembayaran, jadi jangan khuatir dan jangan beranggapan bahawa My Card adalah satu-satunya kaedah pembayaran nanti yang boleh digunakan nanti.
"Kerajaan akan memastikan ia berjalan dengan lancar dan tidak akan membebankan rakyat apatah lagi menyebabkan ada tuduhan bahawa rakyat akan terpaksa beratur panjang nanti," kata Armizan lagi.
Jelas beliau, penyasaran subsisidi bagi petrol RON95 tersebut akan dilaksanakan di seluruh negara termasuk kepada kenderaan persendirian bagi warganegara Malaysia.
"Penyasaran subsidi petrol RON95 juga akan dilaksanakan di Sabah dan Sarawak untuk kenderaan persendirian bagi warganegara Malaysia.
"Ini untuk membolehkan rakyat di Sabah dan Sarawak juga menikmati harga runcit petrol RON95 yang lebih rendah iaitu pada kadar RM1.99 per liter sebagaimana yang telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim sebelum ini," ujar beliau lagi.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah hadir merasmikan majlis penutupan konvensyen yang diadakan di Dewan Hongkod Koisaan KDCA itu.
Turut hadir dalam majlis tersebut Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi Datuk Dr Arifin Mohd Arif dan Pengarah Yayasan Sabah Datuk Seri Gulamhaidar @Yusof Khan Bahadar.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)