![]() |
BANTUAN...Hajiji (kanan) menyampaikan bantuan ihsan kepada Aristhotle. |
PAPAR: Kerajaan negeri kini memberi fokus kepada usaha untuk membantu rakyat yang terjejas akibat bencana banjir dan tanah runtuh.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata ketika ini, semua pihak tanpa latar politik mestilah menggemblengkan usaha untuk menghadapi bencana di negeri ini.
"Sekarang ini, kerajaan negeri fokus untuk bantu masyarakat. Bubar belum lagi kita fikir. Kita fokus untuk memberi bantuan kepada mereka yang terlibat ini.
"Ini masa untuk kita tunjukkan bukan batas perbezaan politik. Dalam kita menghadapi musibah, semua rakyat dan agensi kerajaan mesti digembelingkan untuk membantu. Jangan dulu kita fikir politik, jangan dijadikan isu," jelasnya.
Selain kerajaan negeri dan persekutuan, kata Hajiji, Yayasan Kebajikan Sabah juga turut menyumbang bagi meringankan beban keluarga mangsa-mangsa yang terlibat bencana.
"Saya dan seluruh pimpinan kerajaan begitu simpati dan turut sedih dengan apa yang berlaku.
"Jadi, di pihak kerajaan negeri dan juga kerajaan Persekutuan, kita bantu mana yang patut untuk meringankan bebanan keluarga mangsa ini.
"Bukan sahaja daripada kerajaan negeri dan persekutuan, tetapi juga daripada Yayasan Kebajikan Sabah. Jadi, kita berharap ini dapat meringankan bebanan keluarga mangsa dan insyaAllah kita buat yang terbaik untuk melihat keadaan bencana ini dapat dipulihkan dengan bantuan daripada kerajaan," katanya kepada media selepas melawat dan menyantuni mangsa bencana tanah runtuh di Dewan Raya Tandugal Kg. Mook Kinarut di sini, pada Rabu.
Dalam lawatan itu, beliau menyampaikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM kepada mangsa, Aristhotle @ Jude Joseph yang kehilangan isterinya, Emily Johnny, 38, dan anaknya, Xarell Myre Aristhotle, 11, apabila rumah mereka dihempap runtuhan tanah akibat hujan lebat pada Isnin lalu.
"Tadi kita sudah bagi RM10,000 BWI Kematian untuk setiap mangsa. Begitu juga, Yayasan Kebajikan Sabah bagi RM10,000 setiap mangsa dan rumah kita bagi RM30,000 satu rumah yang musnah keseluruhan (total loss). Tadi ada tiga rumah yang runtuh, kita bagi RM30,000 setiap rumah," ujarnya.
![]() |
Hajiji menyerahkan bantuan ihsan kepada Benny (kiri). |
Selain Aristhotle, Hajiji turut menyantuni mangsa, Benney Binjamis @ Emis di Dewan Kampung Marahang dan menyampaikan bantuan berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi Isnin lepas, isterinya, Wong Moi Ling @ Meymey, 34, serta dua anak, Kamey Asphereynda Benney, 10, dan Christen Kell Benney, 6, terkorban apabila rumah mereka dihempap tanah runtuh di Kampung Marahang Tuntul Kinarut.
Selepas itu, Hajiji menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Salagon di Beaufort dan Dewan Masyarakat Bongawan yang masing-masing menempatkan 83 keluarga dan 56 keluarga, sebelum meninjau tanah runtuh di Perumahan Country Heights dekat Penampang dan Institut Pendidikan Guru Gaya.
Hadir mengiringi beliau, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib, Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Phoong Jin Zhe, Pengarah Yayasan Sabah Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar, ADUN Limbahau Datuk Juil Nuatim, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong dan Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Mohd. Razali Wahab.
Setakat jam 4 petang Rabu, berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, enam daerah direkodkan terjejas akibat banjir dan tanah runtuh iaitu Beaufort, Penampang, Membakut, Papar, Putatan dan Sipitang melibatkan 814 Ketua Isi Rumah dan 2,919 orang penduduk di 126 buah kampung.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)