KOTA KINABALU: Ketua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Azhari Abd Sagap, 31, mendedahkan Zara Qairina Mahathir menangis dan menjerit 'aku tidak mencuri bah, bodoh' selepas keluar dari bilik asrama bersebelahan biliknya pada malam 15 Julai lalu.
Beliau diminta peguam Shahlan Jufri menceritakan apa yang diberitahu kepada pegawai penyiasat berhubung siasatan dibuat pihak warden selepas arwah Zara Qairina dijumpai tidak sedarkan diri pada awal pagi 16 Julai lalu.
Pada malam kejadian, beliau berkata ketua bilik Zara menyoalnya berhubung kehilangan barang milik seorang pelajar tingkatan satu.
“Pada malam kejadian, seorang pelajar Tingkatan 1 mengadu bahawa dia kehilangan barang (duit). Selepas itu, Zara dipanggil oleh ketua bilik ke bilik A3-6 untuk ditanya sama ada dia mencuri.
“Ketua bilik bertanya kepada Zara, ‘kau mencuri kah?’ dan meminta dia bersumpah dengan lafaz ‘Wallahi’.
“Zara bersumpah dia tidak mengambil barang itu,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Peguam Bela, Shahlan Jufri.
Menurut saksi kelapan itu, pada masa sama beberapa pelajar tingkatan satu memeriksa loker dan beg Zara di biliknya sebelum menemui pin bendera Malaysia milik ketua bilik Zara.
“Hasil siasatan kami, Zara keluar dari bilik dalam keadaan menangis dan menjerit ‘aku tidak mencuri bah bodoh’.
“Pelajar kali terakhir melihatnya menuju ke tandas sebelum dia ditemui tidak sedarkan diri (16 Julai lalu),” jelasnya.
Beliau menambah, lima pelajar mengaku melalui pengakuan bertulis bahawa mereka ada menyoal Allahyarhamah berhubung kehilangan barang pada malam sebelum tragedi berlaku.
Prosiding inkues bagi saksi kelapan ini akan diteruskan di hadapan Hakim Koroner, Shah Amir Shah Hassan bagi menyambung semula keterangannya mengenai diari milik Zara Qairina hari ini.