Isu bayaran ‘landing fee’ cetus pergaduhan di Pulau Timba-Timba


Tangkap layar kejadian pergaduhan sekumpulan individu di Pulau Timba-Timba Semporna, pagi semalam. Foto | Tular media sosial.

SEMPORNA : Gara-gara pertikaian bayaran mendarat (landing fee), seorang pengurus syarikat pelancongan diserang sekumpulan lelaki sehingga mencetuskan pergaduhan di Pulau Timba-Timba, di sini, sebelum kejadian itu tular di media sosial.

Insiden kira-kira jam 10.30 pagi semalam itu berlaku ketika mangsa berusia 27 tahun sedang mengiringi sekumpulan pelancong ke pulau berkenaan sebelum didatangi beberapa individu yang menuntut bayaran tambahan meskipun syarikatnya difahamkan sudah membuat pembayaran kepada pihak lain.

Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintendan Jaafar Hakim berkata, pergaduhan tercetus selepas pertikaian mulut antara kedua-dua pihak gagal dikawal.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada wujud lebih daripada satu pihak yang mengutip bayaran mendarat di pulau terbabit. 

"Susulan itu, polis menahan tiga lelaki tempatan berumur 25 hingga 27 tahun untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, rakaman video berdurasi dua minit 13 saat yang memaparkan insiden pergaduhan tersebut turut tersebar di media sosial hingga mengundang pelbagai reaksi netizen termasuk kecaman yang mendakwa ia boleh menjejaskan imej Semporna sebagai destinasi pelancongan popular.

Sehubungan itu, Jaafar menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung kejadian terbabit yang boleh menimbulkan kegusaran awam serta menjejaskan industri pelancongan negara.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama