Bahasa isyarat senjata OKU depani cabaran Mobile Legends Bang Bang

 

Firdaus ketika ditemui media.

KOTA KINABALU:   Di kala 18 buah pasukan turun ke gelanggang digital Mobile Legends Bang Bang sempena sambutan Hari Sabah, hadir sebuah kisah yang jauh lebih bermakna daripada sekadar merebut trofi.

Sekumpulan anak muda kurang upaya (OKU) pendengaran dinamakan Kameha, meski tidak meletakkan harapan yang besar namun, berupaya berdiri sama tinggi dengan pasukan lain.

Bagi kapten Kameha Zico Lucky, perjuangan mereka bukan sekadar berkait menang atau kalah tetapi tentang keberanian mengatasi halangan.

“Berbanding pemain normal, kami perlu menggunakan bahasa isyarat sambil bermain. Itu cabaran terbesar.

''Namun, kami gembira kerana akhirnya dapat bersaing dengan pasukan lain,” ujarnya berbahasa isyarat sambil tersenyum.

Di balik keberanian Kameha, berdiri seorang Jurubahasa Isyarat Malaysia, Era Fazirah Jualaan yang menjadi nadi penting pasukan tersebut.

“Saya tahu mereka memang minat Mobile Legends. Jadi bila ada pertandingan ini, saya tergerak hati untuk bawa mereka sertai.

“Cabaran utama adalah memastikan mereka sentiasa berlatih dan bersedia, tapi saya gembira kerana akhirnya mereka dapat berdiri sama tinggi dengan pasukan lain,” katanya dengan penuh bangga.

Bagi Head Marshall kejohanan, Firdaus Liau Junior, sambutan kali ini cukup membanggakan dengan penyertaan lebih 100 peserta berbanding edisi sebelumnya yang lebih kecil.

“Ada peserta seawal usia 15 tahun, malah ada juga yang berusia 52 tahun turun bermain bersama anak mereka. Tiada had umur, asalkan mampu bermain.

''Kita juga mendapat penyertaan daripada pasukan luar negara iaitu dari Brunei Darusalam,” katanya ketika ditemui di Padang Merdeka.

Bagi Firdaus, e-sukan bukan lagi sekadar hiburan, sebaliknya platform yang membina disiplin, melatih kerjasama berpasukan dan mengalihkan anak muda daripada gejala sosial tidak sihat.

''Malah, kehadiran ibu bapa memberi sokongan moral membuktikan bahawa e-sukan sudah diterima sebagai wadah positif generasi baharu,'' ujarnya ketika ditemui media semasa Pertandingan e-sukan (Mobile Legend Bang Bang) Sempena Hari Sabah, baru-baru ini.

Pertandingan tersebut dianjurkan secara bersama dengan syarikat yang aktif berkecimpung dalam ekosistem e-sukan di Sabah, Jaysung Management.

Lebih daripada sekadar pertandingan, kejohanan ini menyatukan remaja, dewasa malah golongan OKU di bawah satu semangat yang sama iaitu memperjuangkan bakat dan kebolehan anak bangsa.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama