![]() |
KOTA KINABALU: Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin dalam satu sidang media yang diadakan bertempat di Wisma Pendidikan. |
KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah merekodkan sebanyak 78 buah sekolah telah terjejas akibat banjir yang melanda negeri ini, baru-baru ini.
Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata daripada jumlah terbabit, sebanyak 68 sekolah rendah dan 10 sekolah menengah telah terjejas termasuk sekolah yang telah terputus laluan.
Katanya, sekolah yang terjejas akibat bencana itu melibatkan sembilan daerah iaitu Beaufort (35); Papar (20); Penampang (6); Nabawan (5); Keningau (3); Sipitang (3); Tenom (3); Tambunan (2); Kota Belud (1).
"Pada waktu ini kerja pembersihan pasca banjir sedang berjalan atau telah selesai dilaksanakan dengan turut melibatkan sukarelawan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
"Sekitar 50 peratus sekolah terjejas telah siap dibersihkan.
"Nilai keseluruhan kerosakan sedang diperhalusi dan baik pulih akan segera dilaksanakan bagi memastikan akses pendidikan terbaik serta pengoperasian pendidikan yang lancar," katanya.
Susulan itu, Raisin berkata pihaknya telah menyalurkan beberapa bantuan kepada pelajar dan warga pendidikan terjejas banjir.
"Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) memberi bantuan berbentuk wang kepada 50 buah sekolah banjir (tidak melibatkan sekolah terkesan banjir akibat laluan atau akses) pada 25 September lepas.
"Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) kecemasan sebanyak RM300 setiap murid diberikan kepada murid yang layak.
"Insurans takaful telah diberikan kepada mangsa yang meninggal dunia akibat tanah runtuh dan Yayasan Didik Negara (YDN) menyumbang kelengkapan sekolah kepada sekolah terkesan banjir," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan bertempat di Wisma Pendidikan di sini, hari ini.
Berhubung situasi terkini bangunan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya yang terjejas akibat tanah runtuh, beliau berkata antara bangunan yang terlibat adalah kawasan rumah pam air, laluan jalan ke blok akademik serta struktur bangunan blok akademik C dan D serta bahagian belakang blok E.
"Bagi rumah pam air, Jabatan Air akan menanggung semua kos pembaikan. Bangunan terjejas lain tidak lagi digunakan.
"Antara langkah yang diambil bagi menangani isu berbangkit di IPGM Gaya adalah dengan mempercepatkan kerja perlindungan cerun.
"Kementerian Pendidikan (KPM) juga akan mengemukakan cadangan permohonan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk membina bangunan blok asrama baharu di kawasan padang rata di IPG berkenaan," katanya.
Menurutnya, sebagai langkah penyelesaian jangka masa pendek, pihak IPGM akan melakukan penyewaan premis dewan kuliah di kawasan berdekatan.
"Beberapa premis bangunan telah dikenal pasti untuk disewa bagi menggantikan kelas atau bilik kuliah di blok yang terkesan.
XSemua pelajar telah dihubungi bagi menjelaskan situasi sebenar di kampus dan menerangkan dengan jelas keperluan untuk mengadakan
kuliah secara dalam talian berikutan keadaan kecemasan tersebut.
"Pelajar kini sedang mengikuti kuliah secara dalam talian," katanya.
Sementara itu, beliau turut memberitahu pelajar dan ibubapa yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh, baru-baru ini diberikan perkhidmatan kaunseling sebagai sokongan emosi.