KOTA KINABALU: Inkues kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, hari ini mendedahkan kewujudan amalan dikenali sebagai ‘MA’ atau ‘Mesyuarat Agung’ yang didakwa diamalkan oleh pelajar senior di sebuah sekolah berasrama.
Pengawal sekolah, Linah Mansoding @ Jaliha, 65, yang tampil sebagai saksi keenam, berkata aktiviti itu difahamkan sudah lama diharamkan dan tidak dibenarkan lagi oleh pihak sekolah.
Katanya, ‘MA’ ini adalah satu bentuk perjumpaan haram, dilakukan oleh pelajar senior secara sendiri.
"Dulu memang ada, tapi Tingkatan Lima pernah menasihatkan supaya ia dihentikan dan tidak diamalkan lagi.
"Mereka minta kalau ada masalah, terus dilaporkan kepada guru,” katanya ketika menjawab soalan peguam bela, Shahlan Jufri di Mahkamah Koroner, di sini, hari ini.
Menurut saksi, walaupun sudah ditegah, ada pelajar Tingkatan Empat yang dipercayai masih melaksanakan amalan itu secara diam-diam.
Dalam keterangannya, Linah turut memaklumkan bahawa selepas tragedi menimpa Zara, beliau ada mendengar khabar angin kononnya mangsa dituduh mencuri wang RM300 milik seorang pelajar.
“Selepas kejadian, memang ada dengar pelajar bercakap. Zara dituduh mencuri oleh seorang pelajar yang kehilangan dompet berisi wang.
"Malam sebelum kejadian, saya ada jumpa pelajar itu di kawasan jemuran. Dia mengadu dompetnya hilang,” jelasnya.
Katanya, kehilangan wang itu difahamkan berada dalam pengetahuan pelajar Tingkatan Empat yang menjaga bilik (dormitory) Tingkatan Satu, namun beliau tidak mengetahui tindakan lanjut yang diambil terhadap Zara.
“Tidak pasti apa berlaku selepas itu, mungkin mereka hanya memanggil Zara untuk ditanya. Tapi tiada tindakan khusus diambil warden mengenai perkara itu,” katanya.