KOTA KINABALU: Inkues kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, hari ini diberitahu mangsa dituduh mencuri wang sehari sebelum ditemukan tidak sedarkan diri di asrama.
Seorang saksi keenam memaklumkan kepada Mahkamah Koroner bahawa pada 15 Julai lalu kira-kira jam 8 malam, seorang pelajar perempuan membuat aduan kehilangan wang tunai RM300 bersama kad bank.
Katanya, pelajar terbabit mendakwa Zara sebagai individu yang bertanggungjawab dan perkara itu turut disampaikan kepada pelajar tingkatan empat yang bertindak sebagai penjaga dorm.
“Selepas aduan itu, Zara dipanggil oleh pelajar senior berkenaan. Saya tidak pasti apa yang berlaku selepas itu, tetapi berkemungkinan dia dibawa menghadiri perjumpaan haram dikenali sebagai ‘MA’,” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Mahkamah turut dimaklumkan bahawa istilah ‘MA’ merujuk kepada pertemuan rahsia antara pelajar senior dan junior asrama, kononnya bagi tujuan teguran atau nasihat.
Bagaimanapun, amalan itu diharamkan sejak 2017 kerana sering disalahgunakan untuk menekan pelajar junior tanpa pengetahuan guru atau warden.
“Sepanjang berada di asrama ini, saya hanya tahu tiga sesi ‘MA’ pernah berlaku, termasuk ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
"Sepatutnya semua masalah disiplin dilaporkan kepada guru, bukan diselesaikan sendiri oleh senior,” katanya.
