Inkues dedah tubuh Zara dipindahkan ke hadapan rumah warden sebelum ambulans tiba

PAPAR: Mahkamah diberitahu tubuh pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, dipindahkan ke hadapan rumah ketua warden sejurus selepas ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama pada 16 Julai lalu.

Saksi keenam, yang memberi keterangan pada prosiding inkues hari ini, berkata pemindahan itu dilakukan bersama tiga pelajar tingkatan empat selepas mendapat arahan ketua warden.

“Selepas ketua warden sampai ke lokasi, beliau mengarahkan Zara dipindahkan supaya pihak ambulans mudah mengangkatnya. 

"Saya cuba membantu, tetapi tiada bahagian yang boleh saya pegang. Akhirnya Zara diletakkan di bahagian depan asrama, berdekatan rumah warden, sementara menunggu ambulans,” katanya.

Saksi itu memaklumkan ketika dipindahkan, Zara berada dalam keadaan nazak dengan pernafasan sukar, manakala beberapa guru cuba menyedarkannya dengan memanggil namanya serta menepuk pipi, namun tiada respons.

“Kami menunggu hampir sejam kerana ambulans tiba lewat, sekitar jam 4 pagi,” jelasnya.

Beliau berkata, terdapat pendarahan ketara pada kaki kiri mangsa yang patah sehingga tulang terkeluar, selain kesan darah di tengkuk.

“Bahagian parit tempat Zara ditemukan tidak ada darah, tetapi selepas diangkat ada kesan darah yang banyak terutama pada kaki,” katanya.

Menurut saksi, keadaan sekolah menjadi kecoh keesokan harinya selepas berita kejadian tersebar, terutama dalam kalangan pelajar tingkatan satu yang mahu pulang kerana ketakutan.

“Saya menasihatkan mereka supaya tidur di bilik sakit dan saya sendiri menjaga serta menenangkan mereka di sana,” katanya.

Beliau turut memaklumkan ada ibu pelajar yang cuba mengambil anak mereka tetapi tidak dibenarkan oleh warden bertugas kerana tiada kebenaran pengetua yang ketika itu berada di kediaman ibu Zara di Sipitang.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama