![]() |
| Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini, selepas mengaku salah merogol adik iparnya, November tahun lalu. |
TAWAU : Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun terhadap seorang lelaki selepas mengaku bersalah merogol kanak-kanak perempuan bawah umur yang juga adik iparnya, November tahun lalu.
Hakim Ahmad Faizadh Yahaya membuat keputusan itu selepas tertuduh berusia 31 tahun menukar pengakuannya kepada bersalah pada prosiding yang ditetapkan untuk perbicaraan penuh, hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 12 tahun (ketika kejadian) di sebuah rumah di Semporna antara 10 malam hingga 4 pagi pada 27 hingga 28 November tahun lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun serta sebatan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh yang mempunyai tiga anak itu, merayu hukuman ringan dengan alasan sudah bertaubat dan menanggung keluarga termasuk isteri yang sedang hamil.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin dalam hujah pemberatnya memohon hukuman penjara dan sebatan maksimum dengan menegaskan bahawa kesalahan itu bukan sahaja melibatkan unsur rogol, malah pengkhianatan hubungan kekeluargaan kerana tertuduh adalah abang ipar mangsa.
“Perbuatan keji ini sangat menjijikkan dan tidak berperikemanusiaan yang mana mangsa sepatutnya dilindungi tetapi dicemari oleh trauma mendalam yang berkemungkinan besar akan menghantui sepanjang hayatnya.
"Hukuman berat perlu dijatuhkan bukan sahaja untuk menghukum tertuduh, tetapi sebagai pengajaran kepada masyarakat bahawa kanak-kanak tidak sepatutnya menjadi mangsa sebaliknya perlu dilindungi,” katanya.
Beliau berkata faktor mitigasi termasuk pengakuan salah tertuduh tidak boleh mengatasi tahap keseriusan jenayah yang dilakukan dan kepentingan tertuduh tidak wajar dipertimbangkan berbanding kepentingan awam.
Mahkamah kemudiannya turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditangkap.
