![]() |
Hajiji ketika ditemui media. |
TUARAN : Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menggesa Jetama Sdn Bhd agar memperluaskan pemasangan sistem air minum penapisan nano bertenaga solar ke lebih banyak kawasan pedalaman.
Menurut Hajiji, sistem yang dibangunkan oleh Jetama Sdn Bhd sangat baik kerana boleh membekalkan air terawat daripada telaga tiub ke kawasan yang tidak dapat dibekalkan air bersih.
"Penduduk Kampung Baru-Baru tidak pernah menikmati bekalan air terawat sebelum ini kerana kampung ini terletak terlalu jauh daripada paip utama.
"Jadi, saya mengucapkan terima kasih kepada Jetama kerana memasang kemudahan ini di sini.
"Sistem ini, yang menggunakan tenaga solar atau menggunakan bank bateri untuk menjalankan proses rawatan air, amat sesuai untuk kawasan luar bandar dan pedalaman, termasuk pulau-pulau di Sabah.
“Saya telah meminta Jetama mempertimbangkan pemasangan sistem ini di lebih banyak kampung pedalaman,” katanya ketika ditemui media selepas Lawatan Penyempurnaan Sistem Penapisan Nano oleh Jetama Sdn. Bhd di Kg Baru-Baru di sini, pada Rabu.
Menurut Hajiji, dengan kos kira-kira RM1.2 juta, sistem air minum mudah alih yang berkuasa sendiri itu mempunyai kapasiti menghasilkan 30,000 liter air setiap hari dan ianya dilengkapi dengan sensor serta pengawal untuk memantau kualiti air serta prestasi sistem, dan boleh menyesuaikan operasi mengikut keperluan.
Air terawat disimpan dalam tangki dan boleh diagihkan kepada isi rumah melalui paip atau sistem pengagihan.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya dan Pengerusi Jetama, Datuk Yusuff Manan.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)