![]() |
Kontena yang membawa ERS tiba di Kampung Sarumpung - ihsan Sabah Electricity. |
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) Datuk Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar berkata, kerja pemulihan gangguan bekalan di daerah itu dilaksanakan secara berperingkat sejak semalam.
Daerah Sandakan adalah antara daerah yang terjejas apabila berlaku gangguan ke atas talian penghantaran 275kV Kolopis-Segaliud pada jam 5.05 petang semalam.
Katanya, hasil pemeriksaan dan siasatan yang dilaksanakan oleh pasukan teknikal Sabah Electricity mendapati punca gangguan adalah disebabkan oleh tiang menara yang terletak di Kampung Sarapung, Penampang tergelincir daripada kedudukan asal.
"Disebabkan tanah runtuh dan mengakibatkan gangguan kepada talian penghantaran 275kV Kolopis-Segaliud.
"Kejadian itu turut menjejaskan pengguna di daerah Lahad Datu, Kinabatangan, Kunak, Semporna dan Beluran," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Yaakob turut menjelaskan pihaknya telah menggerakkan 27 genset ke kawasan yang terjejas.
"Penempatan genset ini adalah di lokasi strategik iaitu hospital, balai polis, balai bomba dan klinik kesihatan.
"Usaha pemasangan Menara Pengalihan Sementara atau Emergency Restoration System (ERS) akan dilaksanakan mengikut perancangan yang ditetapkan.
"Kontena yang membawa ERS telah tiba di lokasi di mana tiang menara tumbang pada jam 2 petang tadi.
"Kerja-kerja pemasangan ERS akan dilaksanakan oleh pasukan teknikal Sabah Electricity bagi mengganti tiang menara kekal yang tumbang," katanya.
Sementara itu, beliau juga berkata pihaknya menghargai kesabaran semua pengguna di daerah pantai timur Sabah yang terjejas.
Beliau mewakili Sabah Electricity turut memohon maaf di atas gangguan bekalan yang berlaku.
