![]() |
Joane (tengah) sewaktu ditemui media di perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, hari ini |
KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, dijangka menyaksikan satu lagi simulasi jatuhan di lokasi kejadian, esok.
Peguam bela, Joan Goh, berkata mahkamah meluluskan permohonan pihaknya untuk membawa mannequin baharu yang lebih mirip dengan fizikal arwah bagi tujuan demonstrasi.
“Mahkamah telah mengehadkan kepada dua peguam setiap pihak. Kami akan bawa mannequin ke lokasi dan mengenakan berat yang diperlukan untuk tujuan simulasi,” katanya ketika ditemui selepas prosiding hari ini.
Menurutnya, demonstrasi itu akan berlangsung di blok asrama sekolah tempat arwah ditemui sebelum ini, melibatkan beberapa ujian berbeza untuk mendapatkan gambaran lebih jelas.
“Kami akan melakukan demo di tempat tersebut. Selepas itu, prosiding akan disambung semula di mahkamah bersama keterangan Dr Jessie. Mannequin yang digunakan mempunyai saiz ketinggian hampir sama dengan arwah,” ujarnya.
Joan menjelaskan, dua ujian utama akan dilakukan iaitu jatuhan pertama tanpa tolakan, manakala ujian kedua dengan sedikit tolakan.
“Tujuannya untuk menunjukkan perbezaan jarak antara jatuhan. Jika ditolak, apa jauhnya, dan jika dilepaskan tanpa tolakan, apa pula jaraknya,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan ujian tambahan akan menggunakan mannequin berpakaian seluar trek dan t-shirt nipis, dengan berat sekitar 53 kilogram serta ketinggian 154 sentimeter, hampir menyerupai keadaan sebenar Allahyarhamah Zara.
Prosiding inkues dijadual bersambung esok di lokasi kejadian sebelum kembali ke mahkamah untuk mendengar keterangan seterusnya.