4 ditahan, dadah RM1 juta dirampas di Kota Kinabalu

 

KOTA KINABALU: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang dipercayai aktif menghantar bekalan dari Semenanjung ke Sabah menggunakan perkhidmatan kurier apabila empat individu ditahan dan dadah jenis ketamin seberat 20.7 kilogram dirampas, minggu lalu.

Rampasan yang dianggarkan bernilai RM1.035 juta itu dilakukan hasil serbuan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah terhadap sebuah premis kurier di Taman Sri Kepayan, dekat sini, pada 4 September lalu, kira-kira jam 12.15 tengah hari.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata serbuan dilakukan hasil maklumat risikan berhubung kegiatan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai menggunakan laluan kargo udara sebagai modus operandi untuk menyeludup masuk bahan terlarang itu ke negeri ini.

“Pemeriksaan terhadap premis berkenaan menemui dua karung berwarna hijau mengandungi 20 bungkusan plastik bertulisan ‘Tie Guan Yin’ yang disyaki mengandungi dadah jenis ketamin dengan anggaran berat kasar 20.7 kilogram.

“Dadah yang dirampas ini dianggarkan mampu menampung kegunaan lebih 68,000 penagih,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Susulan rampasan itu katanya, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pengurus syarikat kurier terbabit. 

"Suspek dipercayai memainkan peranan penting menguruskan kemasukan bekalan dadah dari Semenanjung ke Sabah. 

"Suspek kedua iaitu lelaki tempatan berusia 58 tahun yang bekerja sebagai kerani operasi syarikat sama pula ditahan beberapa jam selepas itu di kawasan Yusang, Kepayan. 

"Suspek dipercayai membantu meloloskan parcel berisi dadah daripada pemeriksaan pihak kastam dan mesin pengimbas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA)," katanya 

Menurutnya, dua lagi suspek iaitu seorang lelaki berusia 47 tahun dan wanita berusia 46 tahun pula ditahan pada jam 12.15 tengah malam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

“Lelaki terbabit merupakan pemilik syarikat kurier tempat rampasan dilakukan, manakala wanita berkenaan adalah isterinya. 

"Mereka dipercayai mengetahui serta bersubahat dengan kegiatan pengedaran dadah itu,” katanya.

Jauteh berkata, Kesemua suspek kini ditahan reman hingga 11 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

"Saringan awal air kencing mendapati hanya suspek pertama positif dadah jenis Methamphetamine, manakala tiga lagi suspek didapati negatif.

"Semakan rekod lampau mendapati hanya suspek kedua mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya. 

Katanya, siasatan turut membawa kepada penyitaan lima kenderaan mewah iaitu Lamborghini Aventador, Mercedes-Benz E250, Toyota Alphard, Mercedes-Benz CLA300 dan Chevrolet Colorado. Turut disita dua unit televisyen 60 inci, tujuh unit pembesar suara, satu set komputer, 10 beg tangan berjenama serta wang tunai RM4,670.

“Jumlah keseluruhan sitaan harta serta nilai dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM4.21 juta.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam pengedaran, pemilikan atau perlindungan aktiviti dadah,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah kepada pihak polis menerusi talian Hotline JSJN di 012-2087222.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama