Tiang menara di Kampung Sarapung itu terjejas kira-kira jam 5.05 petang Sabtu lalu sekali gus menjejaskan talian penghantaran 275kV Kolopis-Segaliud.
Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Datuk Ir Ts Mohd Yaakob Hj Jaafar, berkata insiden itu mengakibatkan gangguan bekalan elektrik ke beberapa daerah di Pantai Timur Sabah termasuk Sandakan, Lahad Datu, Kinabatangan, Kunak, Semporna dan Beluran.
Katanya, hampir 230,000 pengguna terjejas akibat gangguan ini.
"Pasukan teknikal SESB terus digerakkan dan mereka meredah hutan serta bukit selama hampir tujuh jam sebelum menemui punca gangguan pada jam 1.03 pagi,” katanya dalam kenyataan media selepas meninjau lokasi kejadian melalui udara, hari ini.
Menurutnya, menara berkenaan amat penting kerana ia menyalurkan bekalan elektrik sebanyak 200 megawatt (MW) ke Pantai Timur melalui grid 275kV.
“Kerja-kerja pemulihan dilaksanakan segera termasuk melakukan pintasan (conductor bridging) talian penghantaran melalui talian Kimanis ke Segaliud, selain mendirikan menara kecemasan menggantikan menara yang rosak.
"Usaha ini dijangka mengambil masa antara dua hingga lapan hari untuk disiapkan,” katanya.
Beliau berkata, dalam tempoh dua hari pelaksanaan pintasan berkenaan, SESB turut melaksanakan kaedah perkongsian beban (load sharing) melalui penjana bebas (IPP) di Pantai Timur.
“Bagi memastikan kestabilan bekalan, grid operasi dipecahkan kepada dua mod pulau (island mode), iaitu Island Sandakan yang meliputi kawasan Beluran hingga Kinabatangan dan Island Tawau yang merangkumi Lahad Datu, Kunak serta Semporna,” katanya.
Mohd Yaakob turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah, Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Majlis Keselamatan Negara, Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri, Sabah Air Aviation Sdn Bhd serta jabatan dan agensi kerajaan yang membantu dalam operasi berkenaan.
