![]() |
| Armizan menyantuni masyarakat Papar, hari ini. |
PAPAR: Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali menafikan akan bertanding sebagai calon di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Menurut Timbalan Setiausaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu, katanya beliau perlu memberi tumpuan penuh terhadap tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen dan juga Menteri Persekutuan.
"Saya fikir saya sudah sebut sebelum ini bahawa saya tidak akan bertanding (sebagai calon) DUN sebab saya ada tanggungjawab lain sebagai ketua pentadbiran, Menteri Persekutuan yang mengehadkan masa saya juga untuk ke kawasan.
"Saya bergelut setiap minggu ambil masa (melawat kawasan). Jadi saya gembira sekiranya ada rakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di DUN Pantai Manis ini daripada GRS yang boleh bekerjasama rapat dengan saya dan membantu saya.
"Jadi, bukankah bagus ada dua daripada satu? (dalam konteks kerjasama). Saya ada peranan, dia (bakal calon) ada peranan.
"Insya Allah saya harap DUN Pantai Manis boleh memberi ruang kepada rakan saya daripada GRS untuk mendapat mandat dalam PRN yang akan diumumkan kelak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah Madani dan Advokasi Kepenggunaan di Parkir SMK Takis Papar, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut ditanya sekiranya ada calon yang dikenal pasti daripada kalangan pemimpin muda bagi kawasan DUN di daerah ini.
Menjawab soalan terbabit, beliau menjelaskan tidak terlibat dalam sebarang urusan penentuan calon.
Menurutnya, perkata paling penting adalah calon yang diketengahkan itu harus komited berbakti kepada rakyat dan meneruskan 'track record' GRS.
"Dalam tempoh lima tahun, kita telah diberikan mandat walaupun partner (rakan sekutu) kita silih berganti. Walau bagaimanapun, GRS daripada tahun 2020 saya sering sebutkan.
"Apa juga masalah yang dibangkitkan, isu rakyat yang ingin diselesaikan tidak boleh selesai dengan retorik atau ucapan berapi-api.
" Dalam tempoh lima tahun, hasil (dalam negeri) yang bertambah hasil meningkat. Dengan hasil meningkat maka kita boleh adakan program baru untuk pembangunan masyarakat dan juga menyelesaikan isu-isu legasi yang kita warisi," katanya.
Armizan turut menyatakan harapannya agar rakyat memilih pentadbiran dan seorang pemimpin dari sebuah parti yang berupaya meningkatkan hasil dalam negeri ini.
