15 Ribu sertai perarakan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Jumaat ini

Arifin (dua dari kanan) ketika ditemui media.
KOTA KINABALU:  Daerah Sandakan menjadi tumpuan 15,000 orang yang akan menyertai perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah pada Jumaat ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Arif berkata perarakan itu bakal melibatkan hampir 100 pasukan daripada pelbagai organisasi, sekolah dan pertubuhan itu akan  bermula dari Padang Bandaran Sandakan berarak ke Dewan Masyarakat Sandakan.

''Sambutan tahun ini dijangka lebih meriah dengan pengisian pelbagai acara termasuk pelancaran rasmi, amanat daripada Ketua Menteri Sabah, penyampaian Anugerah Tokoh Maulidur Rasul SAW serta ceramah khas oleh tokoh ulama jemputan dari Indonesia.

''Program sambutan dimulakan lebih awal pada 4 September dengan Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat di Masjid Daerah Sandakan yang akan disertai oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin.

“Pada 5 September, selain perarakan turut diadakan pelancaran sambutan, amanat daripada Ketua Menteri Sabah, penyampaian Anugerah Tokoh Maulidur Rasul SAW serta ceramah khas daripada tokoh ulama jemputan dari Indonesia,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.

Kunjungan tersebut bertujuan menjemput Tun Musa sambil memaklumkan perkembangan persiapan akhir Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1447H/2025 M.

Hadir sama, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Datuk Jumain Abdul Ghani dan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Walter Kenson.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama