BN selesai tapis calon PRN Sabah, wanita turut tersenarai - Zahid

KOTA KINABALU: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan proses penapisan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sudah pun selesai.

Beliau berkata, setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menerima empat hingga lima nama calon untuk dipertimbangkan sebelum dimuktamadkan sebagai senarai akhir.

"Setiap satu DUN, kami terima antara empat hingga lima calon. 

"Penapisan sudah pun dilakukan dan selepas ini kepimpinan negeri serta bahagian akan digabungkan untuk penilaian akhir," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, penyertaan calon wanita penting dalam menambah keseimbangan politik dan memberi lebih pilihan kepada pengundi.

"Perbincangan juga saya lakukan bersama Datuk Seri Bung Moktar Radin. 

"Bagi calon wanita, memang ada disenaraikan dan mereka diyakini boleh menang," ujarnya lagi.

Katanya lagi, proses tapisan dilaksanakan secara teliti bersama kepimpinan negeri dan bahagian bagi memastikan hanya calon berpotensi besar diketengahkan pada PRN Sabah nanti.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sijil Program Kemahiran Komuniti Wanita Negeri Sabah, di sini, hari ini.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama