KOTA KINABALU: Perkhidmatan BAS.MY akan mula beroperasi secara berperingkat di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu bermula Oktober ini.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Loke Siew Fook berkata pada peringkat awal ini, tiga bas akan beroperasi dengan menawarkan perjalanan percuma (Free Ride) sehingga Januari 2026.
“Pada Januari nanti, bas-bas baharu juga akan tiba.
“Jadi, kita menganggarkan pada Februari tahun depan, bus ini dapat beroperasi secara sepenuhnya,” katanya pada sidang media Majlis Pra-Pelancaran BAS.MY Kota Kinabalu yang bertempat di KK Sentral, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa secara keseluruhannya, sebanyak 48 buah bas moden akan beroperasi secara berperingkat melibatkan lapan laluan di sekitar Kota Kinabalu.
“Perkhidmatan ini sudah tentu akan mengubah cara operasi sebelum ini.
“Memang kita hanya bergantung kepada bas berhenti-henti yang dilaksanakan oleh orang-orang persendirian,” ujarnya.
Namun begitu, beliau turut menjelaskan bahawa perkhidmatan bas persendirian masih dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa.
“Ini kerana terdapat juga kawasan yang memerlukan perjalanan jauh seperti ke Tuaran dan sebagainya, yang bergantung kepada bas-bas sedia ada,” jelasnya.
Sementara itu, beliau menambah bahawa kaedah untuk mendapatkan Kad Konsesi bagi Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan pelajar berumur tujuh hingga 17 tahun boleh didaftar di kiosk KK Sentral sebanyak RM10.
“Bayaran hanya dikenakan sekali sahaja kepada pemohon. Apabila sudah dapat kad ini, mereka boleh pakai selama-lamanya,” tambahnya.
Manakala, bagi mendapat pas bulanan perjalanan tanpa had, Kad 30 Hari BAS.MY pula dengan membayar sebanyak RM50 sahaja.