Mangsa tanah runtuh,banjir di Sabah rayu kerajaan percepat bantuan perumahan

SAYU... Fahmi (kanan) berbual dengan Jude (dua dari kiri) selepas penyerahan bantuan.

KOTA KINABALU: Mangsa bencana tanah runtuh dan banjir berharap kerajaan dapat mempercepatkan bantuan perumahan selepas kediaman mereka rosak teruk akibat kejadian baru-baru ini.

Salah seorang mangsa, Aristhotle @ Jude Joseph, 41, berkata meskipun pelbagai bantuan segera telah disalurkan, keperluan utama ketika ini adalah mendapatkan kediaman yang selesa.

“Bantuan makanan dan barangan asas memang mencukupi, tetapi kami berharap bantuan perumahan seperti Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat dipercepatkan.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Ahli-ahli Parlimen, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri serta badan bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak yang menghulurkan bantuan dengan pantas.

“Buat masa ini kami masih tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan setakat ini semua keperluan mencukupi. 

"Walau bagaimanapun, kami berharap bantuan perumahan dapat dipercepatkan kerana segan juga untuk terus tinggal di PPS walaupun serba cukup. Dalam masa sama, kami juga akan berusaha sendiri,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pasca Banjir: Ihsan Komuniti Madani 2025 di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di sini, pada Jumaat.

Dalam majlis berkenaan, seramai 219 mangsa bencana terdiri daripada Komuniti Madani dan warga Kementerian Komunikasi menerima bantuan yang disampaikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Sementara itu, jurufoto Jabatan Penerangan Negeri Sabah, Jeffren Malaning berkongsi pengalaman ketika banjir melanda di  kawasan kediamannya di Kampung Kawari, Papar.

“Hujan lebat tanpa henti menyebabkan air naik mendadak hingga menenggelamkan tiga rumah berhampiran.

“Paras air sampai ke lutut. Kami sempat menyelamatkan barang, tetapi mesin basuh dan beberapa peralatan lain rosak.

“Bantuan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban dan membantu keluarga kami yang terkesan dengan bencana baru-baru ini,” ujarnya.

Bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda Sabah pada 12 hingga 16 September lalu meragut 13 nyawa termasuk lima kanak-kanak.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama