Inkues belum selesai: Shafie ditegur dakwa Zara ‘dibunuh’

 

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kunak, Norazlinah Arif menegur Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berhubung kenyataan beliau yang mendakwa pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, ‘dibunuh’ sedangkan prosiding inkues masih berlangsung.

Norazlinah menyifatkan kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah itu sebagai 'melampaui batas politik' selain tidak menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.

“Kes Zara kini dalam proses mahkamah. Mengeluarkan kenyataan sebegitu bukan sahaja tidak sensitif, malah menghina proses undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menggesa Shafie agar menghormati keluarga mangsa serta memberi ruang kepada mahkamah untuk menjalankan prosiding dengan adil.

Terdahulu, tular klip video ketika Shafie berucap pada sebuah majlis makan malam yang mempersoalkan kelengahan inkues berkenaan. 

Dalam video itu, beliau antara lain menyebut: “(Zara) sudah mati, bukan (kerana) dibuli. Ia (kes) bunuh. Sudah berapa kali Bukit Aman tanya (saksi)? Sudah berapa kali ditanya, orang yang sama.”

Mengulas lanjut, Norazlinah menasihatkan Shafie agar ‘berehat’ kerana kenyataan beliau kebelakangan ini menunjukkan seolah-olah sudah mula 'penat' dan 'hilang arah'.

“Saya melihat ucapan-ucapan beliau menunjukkan satu perkara iaitu dia penat, mula hilang arah, dan tidak lagi berucap dengan fakta.

“Rakyat hari ini bijak. Mereka tidak mahu lagi mendengar ucapan yang kosong, berbau kebencian, dan hanya tahu menyalak tanpa menyumbang,” katanya.

Allahyarhamah Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolahnya di Papar, Sabah.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis berhubung kes berkenaan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama