Bapa Zara Qairina, peguam lima remaja tertuduh dibenar jadi pihak berkepentingan dalam inkues

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini hari ini membenarkan bapa Allahyarham Zara Qairina Mahathir serta pasukan peguam mewakili lima remaja terbabit, untuk diiktiraf sebagai pihak berkepentingan dalam prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu itu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, yang bersidang sebagai koroner, membuat keputusan berkenaan selepas dimaklumkan Jabatan Peguam Negara tidak membantah permohonan tersebut.

Dengan keputusan itu, Mahathir Hashim @ Marikin, 44, boleh diwakili pasukan peguamnya terdiri daripada Sherzali Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad sepanjang prosiding berlangsung.

Turut dibenarkan, peguam yang mewakili lima remaja berkenaan serta Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) sebagai peguam pemerhati dan amicus curiae (sahabat mahkamah), manakala Kementerian Pendidikan (KPM) juga dilantik sebagai peguam pemerhati.

Inkues yang dijadual berlangsung selama 19 hari bermula hari ini akan memanggil saksi pertama pada jam 2 petang. Seramai 70 saksi, termasuk pakar patologi yang menjalankan bedah siasat, dijangka memberi keterangan.

Allahyarham Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya di Papar pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, keesokannya.

Pada Selasa lepas, Mahkamah Tinggi, di sini, telah mengetepikan keputusan Koroner sebelum ini berhubung kebenaran yang diberi kepada peguam mewakili pesalah kanak-kanak untuk menjadi pihak berkepentingan dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas mendengar hujah daripada pihak yang terbabit berhubung permohonan semakan semula yang difailkan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) dan peguam mewakili keluarga arwah Zara.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama