Syabu 41.6kg bernilai RM1.3 juta dirampas, tiga suspek ditahan

 

KOTA KINABALU: Polis Sabah berjaya mematahkan cubaan satu sindiket pengedaran dadah di negeri ini selepas merampas 41.6 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM1.323 juta, baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata serbuan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) selepas menerima maklumat berkaitan dua kenderaan mencurigakan menuju ke arah Pantai Timur Sabah pada 28 Ogos lalu.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, pasukan JSJN bertindak mengekori kenderaan terbabit sebelum berjaya menahan sebuah Proton Saga di stesen minyak Petronas di Jalan Ranau kira-kira jam 8.15 pagi.

"Pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan menemui 20 bungkusan dipercayai mengandungi syabu seberat 21.3kg dengan nilai dianggarkan RM681,000.

"Seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun ditahan di lokasi berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Tambah beliau, dalam serbuan kedua yang dilakukan di perkarangan Masjid Telupid, pasukan JSJN berjaya menahan sebuah lagi kenderaan yang dipercayai terbabit dalam sindiket sama.

"Hasil pemeriksaan menjumpai 20 bungkusan lagi syabu seberat 20.33kg bernilai kira-kira RM650,000.

"Dua lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 24 tahun ditahan dalam serbuan kedua itu," katanya.

Jauteh berkata, siasatan awal mendapati semua dadah itu dipercayai dibawa masuk dari Semenanjung Malaysia menggunakan perkhidmatan udara sebelum dihantar ke Kota Kinabalu dan dibawa ke Pantai Timur untuk tujuan pengedaran.

"Rampasan keseluruhan berjumlah 41.6kg itu dianggarkan boleh digunakan oleh lebih 160,000 penagih," katanya.

Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai aktif di sekitar Sabah dan salah seorang daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.

"Pihak polis turut percaya sindiket ini menggunakan perkhidmatan kurier untuk membawa masuk dadah dari Semenanjung," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, polis turut menahan seorang lagi individu di daerah Kunak di bawah langkah-langkah pencegahan khas selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.

"Tindakan ini diambil sebagai langkah proaktif polis dalam membendung kegiatan sindiket dadah di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Jauteh berkata, pihaknya turut menyita pelbagai aset milik sindiket termasuk wang tunai pelbagai mata wang berjumlah RM354,000, 16 buah kenderaan pelbagai jenis termasuk sebuah lori, dua motosikal dan beberapa barangan kemas.

"Keseluruhan nilai sitaan dianggarkan hampir RM1 juta. Setakat ini, tiada kaitan langsung individu yang ditahan di Kunak dengan kes di Ranau dan Telupid, namun kita tidak menolak kemungkinan dia turut mendapat bekalan daripada kumpulan yang sama," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan sebatan jika sabit kesalahan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama