Ibu, anak lelaki ditemui maut tertimbus di Kg Mook, Papar

Gambar ihsan Bomba 

PAPAR: Dua mangsa, termasuk seorang kanak-kanak lelaki, disahkan maut selepas tanah runtuh menghempap tiga rumah di Kampung Mook, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Papar, Rozlan Osman, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 10.02 pagi sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian pada jam 10.48 pagi.

Beliau berkata, operasi menyelamat membabitkan sembilan anggota termasuk Unit Storm dan EMRS, selain sebuah jentera dikerah ke lokasi yang terletak kira-kira 35 kilometer dari balai berkenaan.

“Pasukan bomba berjaya mengeluarkan dua mangsa tertimbus iaitu seorang wanita berusia 38 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rozlan berkata, operasi tamat pada jam 2.25 petang dan pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan tiada risiko susulan.

Beliau turut menasihatkan penduduk di kawasan berisiko supaya peka terhadap keadaan sekeliling, terutama ketika cuaca tidak menentu, bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama