1 maut, 11 parah van bertembung Ambulans

Gambar ihsan Bomba

KINABATANGAN: Seorang maut manakala 11 lagi cedera parah selepas sebuah van Foton View bertembung dengan van ambulans di Jalan Paris 2, di sini, pagi tadi.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Hairi Otuh, panggilan kecemasan berhubung insiden itu diterima pada jam 10.25 pagi sebelum sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan digerakkan ke lokasi.

Beliau berkata, pasukan tiba di lokasi pada jam 11 pagi dan mendapati kedua-dua kenderaan remuk teruk dengan beberapa mangsa tersepit.

"Seramai 12 mangsa berjaya dikeluarkan pasukan bomba, membabitkan empat mangsa dari van ambulans dan lapan lagi dari van Foton View.

"Seorang mangsa yang berada dalam ambulans disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua 11 mangsa yang cedera parah dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.

Operasi turut dibantu 12 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan empat anggota polis.

"Operasi menyelamat ditamatkan pada jam 11.50 pagi sselepas memastikan kawasan kejadian selamat dan tiada risiko susulan," ujarnya lagi

Punca kemalangan masih dalam siasatan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama