Inkues Zara: Tabung khas dilancar, peguam kekal pro bono

Nizam (tengah) sewaktu ditemui media di perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.


KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, hari ini turut menyaksikan pengumuman mengenai penubuhan satu tabung khas bagi membantu perjalanan inkues di Mahkamah Koroner.

Peguam keluarga, Nizam Salleh, berkata tabung itu dilancarkan dengan kerjasama sebuah NGO bagi menampung kos seperti kehadiran saksi pakar, perjalanan dan penginapan sepanjang prosiding berlangsung.

"Tabung ini diwujudkan bagi memudahkan perjalanan inkues, terutamanya melibatkan kos saksi pakar dan logistik.

"Anak guam kami dengan kerjasama NGO berkenaan sepakat melancarkannya bagi memastikan proses ini berjalan lancar," katanya.

Menurut Nizam, tabung itu tidak melibatkan pembayaran yuran guaman kerana semua peguam yang mengendalikan kes berkenaan berkhidmat secara pro bono tanpa sebarang bayaran.

"Pengurusan tabung ini juga diletakkan di bawah penyeliaan NGO berkenaan bersama pasukan anak guam.

"Jadi, sebarang pertanyaan boleh diajukan terus kepada mereka. Pendirian kami kekal, tugas ini dijalankan secara pro bono," tegasnya.

Tabung berkenaan diuruskan dengan kerjasama Persatuan Bayu Raudah Sabah, bagi memastikan sumbangan yang diterima diagihkan secara telus dan berhemah.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Shah Amir Hassan akan bersambung esok dengan keterangan saksi kelima, Inspektor Maidon Bernandus dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama