Usah sibuk cari salah orang lain, Sepanggar masih terbiar, Mustapha diberitahu


KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Darau membidas Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud, yang didakwa lebih sibuk menyalahkan pihak lain berbanding menyelesaikan masalah rakyat di kawasannya.

Ketuanya, Abqaree Fawwaz Abekan berkata, tuduhan Mustapha kononnya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjadi liabiliti hanya menyerlahkan kelemahan beliau sendiri sebagai wakil rakyat.

“Datuk Mustapha sepatutnya turun padang dan bekerja keras menyelesaikan isu rakyat di Sepanggar. Malangnya, beliau lebih ghairah berpolitik di media.

"Jangan jadi pemimpin yang hanya pandai bercakap tetapi gagal membawa perubahan. Ukur baju di badan sendiri dahulu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Abqaree menegaskan, rakyat Sepanggar masih dibelenggu rungutan sama setiap hari seperti air paip tidak stabil, jalan raya berlubang dan sesak, selain masalah bekalan elektrik yang kerap terputus.

“Liabiliti sebenar bukanlah GRS, tetapi Datuk Mustapha sendiri kerana gagal menunjukkan prestasi sebagai Ahli Parlimen.

"Sejak dipilih, beliau lebih banyak tampil di media nasional daripada benar-benar mendengar keluhan rakyat di kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, GRS terus konsisten membawa kestabilan politik dan membela rakyat Sabah, manakala Mustapha pula masih gagal membuktikan kewibawaannya di Sepanggar.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama