KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seramai 195 saksi sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung kes kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu, berkata ia membabitkan pelbagai pihak termasuk pelajar, guru, pegawai perubatan, warden, pengawal keselamatan, ibu bapa serta saksi lain yang dianggap material kepada siasatan.
Beliau berkata, kertas siasatan kes itu akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara (AGC) pada 18 Ogos ini bagi mendapatkan nasihat serta arahan lanjut, selepas siasatan tambahan dilaksanakan oleh pasukan khas (Task Force) Bukit Aman.
“Siasatan dijalankan dengan memberi fokus kepada dua aspek utama iaitu prosiding inkues serta kemungkinan berlakunya perlakuan jenayah lain seperti kes buli dan penularan berita palsu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu katanya, PDRM menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau mencetuskan sentimen yang boleh menjejaskan keharmonian.
"PDRM memberi jaminan bahawa proses siasatan dilakukan secara menyeluruh dan telus tanpa melindungi mana-mana pihak," katanya.
