70 saksi akan dipanggil dalam inkues kematian Zara Qairina

KOTA KINABALU: Seramai 70 saksi dijangka dipanggil untuk memberi keterangan dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir yang akan bermula di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu pada 3 September ini.

Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa permohonan untuk menjalankan inkues telah dikemukakan oleh pihak Pendakwa Raya kepada Mahkamah Koroner selaras dengan subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].

Prosiding itu dijadual berlangsung selama 20 hari iaitu pada 3 hingga 5, 8 hingga 12, 17 hingga 19, 22 hingga 26 serta 29 hingga 30 September 2025.

“Antara saksi utama yang bakal dipanggil ialah pakar patologi yang menjalankan pemeriksaan post-mortem ke atas jenazah Zara Qairina, bagi memberikan keterangan berhubung punca kematian mangsa,” menurut kenyataan itu.

Menurut jabatan itu lagi, pasukan Pegawai Pengendali telah membuat persiapan rapi termasuk penyediaan dan penyerahan dokumen berkaitan kepada pihak-pihak yang berkepentingan dalam prosiding berkenaan.

Dalam pada itu, jabatan berkenaan turut memaklumkan bahawa pihaknya menyedari mengenai perhimpunan bertemakan ‘No Justice No Merdeka’ yang dikatakan akan berlangsung hujung minggu ini di Sabah, namun menegaskan bahawa keadilan sewajarnya dicapai melalui saluran perundangan yang sah.

Prosiding inkues turut akan disertai oleh pelbagai pihak berkepentingan serta peguam pemerhati yang telah mendapat kebenaran Mahkamah Koroner.

Ibu kepada Zara Qairina akan diwakili oleh firma guaman Tetuan Hamid & Co, Shahlan Jufri & Co, Tetuan Rizwan M Borhan & Co, JP Keruak serta Messrs FN Lee & Nasser.

Pesalah kanak-kanak pertama pula diwakili oleh Tetuan Ram Singh & Co dan Goh & Associates, manakala pesalah kanak-kanak kedua hingga kelima diwakili Tetuan Azhier Arisin & Jaafar. Sabah Law Society pula akan hadir sebagai peguam pemerhati.

“Jabatan ini bertekad untuk memastikan prosiding inkues berjalan dengan lancar dan adil. 

"Prinsip kami jelas iaitu keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, tetapi mesti juga dilihat telah dilaksanakan,” menurut kenyataan itu lagi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama