![]() |
Mohammad sewaktu berucap di Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Putatan di Pan Borneo Hotel, Kota Kinabalu, hari ini |
KOTA KINABALU: UMNO Sabah menetapkan syarat untuk bertanding sekurang-kurangnya 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata angka itu mewakili jumlah kawasan Parlimen di Sabah yang wajar diberikan kepada parti itu dalam rundingan kerusi bersama rakan komponen kerajaan perpaduan.
Katanya, perkara itu menjadi asas utama yang tidak boleh dikompromi dalam perbincangan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu.
"Kalau setiap satu Parlimen kita bertanding, mestilah 25, itu secara logiknya.
"Satu kawasan satu wakil, tu asas rundingan,” katanya.
Mohamad berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Putatan, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Luar Negeri menjelaskan, rundingan antara BN dan PH masih berlangsung dan pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa perunding untuk memuktamadkan pembahagian kerusi.
Tambahnya, UMNO melihat potensi besar untuk kembali kukuh di Sabah, namun strategi dan kesepakatan bersama perlu diperhalusi terlebih dahulu.
"Saya beri mandat kepada jawatankuasa perunding.
"Setiap satu Parlimen mesti ada satu wakil Barisan. Itu non-negotiable," katanya.
Difahamkan, UMNO mahu memastikan parti itu kekal relevan dan mampu mengimbangi pengaruh parti-parti tempatan di Sabah menjelang PRN akan datang.
Setakat ini, tiada tarikh rasmi diumumkan bagi pembubaran DUN Sabah namun spekulasi PRN semakin hangat diperkatakan, khususnya selepas beberapa pemimpin utama mula mengatur gerak kempen awal.