![]() |
Tan Sri Muhyidin Yassin menyampaikan ucapan sempena Program Jelajah Rakyat 2025 di Tawau malam tadi. |
TAWAU : Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan untuk menyelesaikan masalah asas rakyat Sabah seperti air, elektrik dan jalan raya sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan negeri dan Persekutuan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, isu-isu tersebut sudah berlarutan puluhan tahun tanpa penyelesaian dan memerlukan perubahan kepimpinan bagi merangka strategi serta pelan tindakan menyeluruh.
“Kalau diberi peluang, kita boleh cari dana dan beri keutamaan kepada kawasan yang telah lama terpinggir.
"Kalau tidak dalam tempoh setahun atau seberapa cepat yang mungkin kita boleh cari dana peruntukan yang diperlukan supaya dapat memberi keutamaan di kawasan-kawasan yang terpinggir sejak sekian lama dan sebagainya," katanya ketika ditemui media selepas program Jelajah Rakyat 2025 di sini, malam tadi.
Menurut bekas perdana menteri itu, sokongan rakyat yang hadir dalam program tersebut jelas menunjukkan keinginan untuk PN mengambil alih pentadbiran negeri dan pusat.
Ketika ditanya sama ada PN akan bekerjasama dengan parti-parti lain seperti Warisan dalam menghadapi PRN, Muhyiddin berkata pihaknya belum membuat keputusan muktamad namun sedang merancang strategi dan mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak.
“Tak boleh umum sekarang, itu strategi. Bila DUN dibubar nanti kita akan umum kawasan tumpuan dan calon-calon berkaliber termasuk keputusan penggunaan logo.
“Setakat ini logo PN kekal, kerana rakyat sudah kenal dan terima,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menegaskan bahawa gabungan itu komited untuk merampas semula semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang pernah dimenanginya pada PRN 2020, termasuk di Tawau.
Beliau berkata gelombang kebangkitan rakyat semakin ketara apabila ramai mula kembali menyokong PN, setelah kecewa dengan permainan politik semasa.
“Mereka kata PN tiada apa-apa di Sabah. Tapi mereka lupa kita pernah menang 17 kerusi.. 11 BERSATU dan 6 STAR atas tiket kita.
“Kerusi itu bukan hilang, tapi dirampas oleh mereka yang melompat dan pura-pura lupa sejarah. Kali ini kita mahu ambil balik semuanya,” katanya disambut sorakan lebih 3,000 penyokong.
Ronald secara sinis turut menyindir percaturan politik Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan sekutunya yang menurut beliau lebih sibuk berbincang kuasa daripada menyelesaikan keperluan asas rakyat.
“Masalah air, elektrik dan jalan raya tak selesai. Cakap mahu tanding solo, tapi bila jumpa PMX terus goyang.
“Akhirnya lahir gabungan ‘cinta tiga penjuru’. Yang ini gabung dengan ini, yang itu gabung dengan yang ini… Siapa yang untung? Yang di tengah-tengah tu lah. Dia sedar kah?” katanya secara sinis.