![]() |
Mohamad ketika sidang media |
KOTA KINABALU: Sabah mempunyai potensi besar untuk menjadi pusat pengeluaran nanas utama negara, sejajar dengan usaha memperkasa industri buah-buahan tropika bagi pasaran domestik dan eksport.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata setakat ini, kawasan seluas 300 hektar di Sinua telah dikenal pasti untuk dimajukan sebagai projek perintis bersama Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB).
“Namun begitu, potensi sebenar adalah lebih besar, dengan ribuan hektar tanah di pelbagai lokasi lain turut dikenal pasti untuk pembangunan ladang nanas.
“Antara lokasi berpotensi termasuk Kota Marudu, Beaufort, serta beberapa kawasan di sepanjang jajaran jalan utama yang sesuai bagi penanaman nanas berskala besar dan komersial," katanya.
Mohamad Sabu berkata, pembangunan ladang nanas ini bukan sahaja bertujuan memenuhi pasaran tempatan, malah dirancang untuk tujuan eksport, sekali gus meningkatkan nilai tambah hasil pertanian di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Pra Peluncuran WIF4 sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu.
Dalam majlis yang sama, beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) turut dimeterai, membabitkan pemasaran sarang burung walit ke pasaran China, serta pembangunan tanaman nanas.
Perjanjian berkaitan eksport sarang burung mentah dan yang telah diproses itu diyakini mampu memperluas potensi pasaran agro-produk bernilai tinggi dari Malaysia.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dan Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)