![]() |
Zahid pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lahad Datu, semalam. |
LAHAD DATU: UMNO Sabah tidak boleh bergerak bersendirian dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, UMNO Sabah perlu menjalinkan kerjasama strategik dengan parti-parti lain bagi memastikan kestabilan politik dan kemajuan negeri dapat dicapai.
Katanya, walaupun UMNO dan Barisan Nasional (BN) bertanding menggunakan lambang sendiri, namun kerjasama dengan gagasan politik lain tetap menjadi keutamaan.
“Kita tidak boleh bergerak secara solo dalam landskap politik baharu ini. Biarpun kita masuk pilihan raya menggunakan lambang BN.
“Kita tetap terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan parti-parti lain, termasuk rakan dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lahad Datu, di sini, semalam.
Ahmad Zahid berkata, UMNO Sabah telah diberikan autonomi sepenuhnya untuk membuat keputusan termasuk dalam menjalin kerjasama dengan parti sahabat atau yang pernah menjadi seteru politik.
“Inilah realiti politik baharu bukan saja di Sabah, malah di negara luar. Saya tidak nampak mana-mana parti yang boleh bentuk kerajaan negeri secara bersendirian,” katanya.
Jelasnya, kerjasama antara parti wajar dimuktamadkan sama ada sebelum atau selepas PRN bagi memastikan kerajaan negeri yang dibentuk kelak mampu membawa kestabilan dan menyelesaikan isu-isu utama yang membelenggu rakyat Sabah.
“Sabah perlu kestabilan politik untuk menjamin kemajuan dan pembangunan yang berterusan, terutama dalam menangani masalah rakyat yang masih membelenggu negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memaklumkan rundingan pengagihan kerusi antara parti sedang diperincikan.
“Saya berharap agar satu formula terbaik dapat dicapai untuk mengelakkan pertindihan calon di kawasan yang sama.
“Secara idealnya, kita mahukan satu kerusi satu calon di setiap kawasan Parlimen. Namun, idealisme kita lebih tinggi daripada itu, insya-Allah,” katanya.
Menyentuh mengenai kewujudan kumpulan tertentu di beberapa bahagian, termasuk yang dikenali sebagai ‘kelompok biru’, beliau berkata tindakan sewajarnya akan diambil selepas menerima petunjuk awal menjelang pembubaran Dewan Undangan Negeri.
“Kita akan ambil tindakan di peringkat negeri bersama rakan-rakan parti lain apabila tiba masanya,” katanya.