UMNO Sabah puji keberanian Warisan tanding solo PRN17


SANDAKAN: UMNO Sabah menyifatkan keputusan Parti Warisan yang akan bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) sebagai langkah berani dan mencerminkan kematangan politik.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, berkata tindakan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, itu menunjukkan keyakinan untuk berjuang dengan kekuatan sendiri, tanpa bergantung kepada pakatan longgar atau rundingan politik di belakang tabir.

“Warisan memilih untuk bertarung dengan kekuatan sendiri, bukan berpaut pada pakatan longgar atau rundingan pintu belakang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Suhaimi, yang juga Ahli Parlimen Libaran, dalam masa sama mengkritik Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang disifatkannya tidak konsisten dan rapuh, apabila dilihat kerap berubah-ubah pendirian dalam soal kerjasama politik.

Beliau turut membidas kenyataan pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS), Arthur Sen, yang mempertikai pendirian UMNO Sabah, sambil mengingatkan sejarah PBS yang keluar masuk gabungan politik demi kepentingan sendiri.

“Jangan ajar harimau cara mengaum, terutama jika selama ini hanya tahu menyalak di belakang pagar,” katanya.

Suhaimi turut mengumumkan UMNO-BN Libaran akan bertanding di ketiga-tiga kerusi DUN dalam Parlimen Libaran iaitu Gum-Gum, Sungai Manila dan Sungai Sibuga pada PRN-17 nanti.

Katanya, BN akan terus membawa suara rakyat dan memperjuangkan kestabilan, kemajuan serta masa depan yang lebih baik untuk Libaran dan Sabah.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama