![]() |
Milpan Acho, 22, diiring anggota polis sebaik selesai dituduh di Mahkamah Majistret Tawau, di sini, hari ini. Foto | SS |
TAWAU : Hanya kerana upah 15 juta rupiah (RM3,874), seorang penganggur warga Indonesia kini berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar lebih dua kilogram (kg) dadah jenis syabu bulan lalu.
Milpan Acho, 22, dari Wilayah Sulawesi Tengah, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Pendaftar Mahkamah Rendah, Mohd Afif Huzairi Ayob.
Tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 2,062 gram berhampiran sebuah medan selera di Jalan Pelabuhan di sini pada 9.30 pagi, 25 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Nur Intan Jamrin mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 11 September ini untuk sebutan semula bagi keputusan laporan kimia dan tiada sebarang jaminan ditawarkan.
Pada 29 Julai lalu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin dilaporkan berkata suspek ditahan ketika cuba menyeludup keluar dadah bernilai kira-kira RM74,000 melalui jeti CIQ Lama di sini.
Menurutnya, suspek dipercayai memasuki Tawau pada 21 Julai melalui laluan tidak diwartakan (laluan tikus) untuk membawa keluar dadah berkenaan.