TAWAU : Perbuatan keji seorang bapa yang tergamak merogol anak kandung berusia enam tahun sehari sebelum isterinya bersalin di hospital, mendapat balasan setimpal apabila dia dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, hari ini.
Hakim Ahmad Faizadh Yahaya menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh yang berusia 43 tahun itu menukar pengakuan kepada bersalah sejurus pertuduhan dibacakan pada prosiding yang sepatutnya ditetapkan untuk perbicaraan penuh, hari ini.
Berikutan pengakuan itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling selain pengawasan polis selama tiga tahun selepas tamat tempoh penjara berkenaan yang berkuatkuasa dari tarikh tangkapan.
Mengikut pertuduhan, lelaki yang bekerja sebagai nelayan itu didakwa merogol anak kandungnya di rumah mereka dekat Semporna pada 12 Ogos 2014.
Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan tidak kurang 10 kali sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, bapa kepada lapan anak itu dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan sudah insaf dan menyesal atas perbuatannya.
Bagaimanapun, Muhammad Haikal dalam hujahnya memohon hukuman penjara dan sebatan maksimum dikenakan ke atas tertuduh mengambil kira tahap keseriusan jenayah yang dilakukan tertuduh.
Katanya, perbuatan keji itu bukan sahaja satu bentuk penderaan seksual, malah pengkhianatan paling hina terhadap amanah sebagai seorang bapa.
“Mangsa yang baru berusia enam tahun adalah golongan paling rentan dan tidak berdaya mempertahankan diri. Perbuatan tertuduh sangat menjijikkan dan tidak berperikemanusiaan.
“Kepentingan tertuduh tidak seharusnya diberi pertimbangan berbanding keseriusan jenayah yang dilakukan. Hukuman yang dijatuhkan mesti bersifat pengajaran, punitif dan mencerminkan rasa jijik masyarakat terhadap kesalahan ini,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku pada 2 Ogos 2014 ketika isteri tertuduh sedang menunggu masa melahirkan anak kelima mereka di Hospital Semporna.
Hasil siasatan juga mendapati tertuduh terlebih dahulu mengarahkan salah seorang anaknya membawa adik-beradik lain ke rumah nenek mereka, dipercayai sebagai taktik untuk memastikan mangsa bersendirian sebelum melakukan jenayah itu.