![]() |
Jasnih ketika ditemui media. |
TUARAN: Semangat ukhuwah perlu ditekankan sebagai asas penting dalam mempertahankan kemerdekaan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya berkata ukhuwah bukan sekadar ikatan sosial, sebaliknya kunci untuk memahami antara satu sama lain dan berkongsi tujuan bersama demi masa depan negara.
“Apabila wujud ukhuwah, kita dapat memahami antara satu sama lain dan secara tidak langsung tahu apa yang perlu kita kongsikan bersama. Tujuan kita jelas untuk menjadikan negeri ini tempat yang sesuai untuk kita dan generasi akan datang,” katanya.
Menurut Jasnih, sebahagian daripada tuntutan kemerdekaan juga adalah dengan memastikan generasi akan datang tidak terikat dengan perkara yang akan melemahkan jati diri.
“Isu-isu semasa menuntut kita mencari jalan bagaimana untuk membebaskan generasi akan datang daripada belenggu minda dan budaya yang tidak sihat. Inilah juga bentuk kemerdekaan yang mesti dituntut,” ujarnya semasa berucap dalam Program Ukhuwah Madani Sempena Bulan Kebangsaan di sini, pada Khamis.
Tambah beliau. program berkenaan bukan sekadar pengisian rohani, tetapi juga menjadi ruang menyemai ukhuwah, mengeratkan silaturahim serta menzahirkan rasa cinta terhadap negeri Sabah dan Malaysia tercinta.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)