![]() |
SEMANGAT... wakil peserta bersemangat setelah menyiapkan tugasan mereka. |
TUARAN: Digital Race menjadi platform untuk menguji kreativiti, ketangkasan dan kerjasama peserta dalam menyelesaikan pelbagai tugasan interaktif, di samping memberi pendedahan kepada kemahiran digital.
Penyelaras Program, Sulia Banying Gihang berkata pertandingan tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada beberapa buah sekolah sekitar Tuaran yang berminat menonjolkan bakat mereka dalam cabaran digital tersebut.
"Ada lima check point yang perlu ditempuhi oleh para peserta sebelum bergelar juara iaitu Poster Kebangsaan, Video Tiktok, Kuiz Kemerdekaan, Teka Silangkata dan Puzzle.
"Peserta perlu menyelesaikan semua tugas dengan melalui lima check point yang telah ditetapkan dalam peraturan sukan tersebut,” katanya ketika ditemui media selepas Program Digital Race Merdeka sempena Karnival Kita Madani, di sini pada Jumaat.
Pertandingan yang menggabungkan cabaran maya dan fizikal itu turut menguji pengetahuan peserta dalam bidang teknologi digital, keselamatan siber, aplikasi mudah alih serta inovasi baharu.
Selain memberi pengalaman yang menyeronokkan, program berkenaan juga bertujuan meningkatkan tahap celik digital masyarakat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan insan, perpaduan dan kemajuan teknologi.
Program Karnival Kita Madani berlangsung selama tiga hari bermula semalam hingga esok (Sabtu) merupakan anjuran Jabatan Penerangan Sabah dengan kerjasama strategik pelbagai jabatan, agensi persekutuan dan negeri, pihak swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Antara pengisian menarik termasuk Bengkel Memasak, Pertandingan mewarna, Fun Art Madani, Sukan Aktif Madani, Bintang Patriotik Madani, Jualan Agro Madani, Jualan Rahmah Madani, Demonstrasi K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sambutan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 serta pelbagai aktiviti riadah untuk seisi keluarga.
Turut hadir pada Program berkenaan Timbalan Pengarah Penerangan Sabah Supian Musa serta Penolong Pengarah Bahagian Komunikasi Visual dan Senireka JAPEN Sabah Razif Che Hashim serta Penolong Pengarah Gerak Saraf dan Pengurusan Isu JAPEN Sabah, Mohammad Saiful Sinring.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)